Home Sukan Covid-19: Liga Eredivisie dibatalkan tanpa juara

Covid-19: Liga Eredivisie dibatalkan tanpa juara

Belanda batalkan Liga Eredivisie tanpa pasukan juara atau pasukan tersingkir musim 2019/2020 ini semalam.

AMSTERDAM – Liga Eredivisie musim ini dibatalkan berkuatkuasa serta merta walaupun terdapat baki perlawanan berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.

Badan Pemantau Bola Sepak Belanda (KNVB) mengumumkan keputusan itu berikutan keputusan kerajaan negara itu melanjutkan larangan aktiviti perhimpunan besar sehingga 1 September 2020.

KNVB berkata, adalah sukar untuk meneruskan baki saingan liga domestik dalam situasi sekatan, sekali gus menyaksikan Liga Eredivisie Belanda ditamatkan tanpa pasukan dinobatkan sebagai juara atau pasukan tersingkir pada musim ini.

Ajax yang mengungguli liga dengan jumlah jaringan gol yang lebih besar berbanding pesaing terdekatnya Az Alkmaar yang berada pada kedudukan kedua tidak akan dinamakan sebagai juara.

Malah tiada pasukan yang tersingkir daripada Eredivisie atau dimasukkan ke dalam liga itu selepas beraksi 26 perlawanan.

Ajax dan AZ Alkmaar secara automatik layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, tertakluk kepada kelulusan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Sementara itu, Cambuur yang mengungguli divisyen kedua liga Belanda kecewa apabila tidak dapat menyertai Eredivisie berikutan pembatalan itu.

Ketua Jurulatihnya, Henk de John menyifatkan keputusan itu satu penghinaan terbesar dalam sejarah bola sepak Belanda.

KNVB menambah, pihaknya sedar akan keputusan getir ini akan mengecewakan banyak pihak.

“Sangat jelas untuk semua yang terlibat iaitu, dari penyokong, pemain sehinggalah pengarah kelab, pengadil liga bahawa kesihatan awam adalah keutamaan kita semua,” katanya.

Katanya pembatalan musim ini terpaksa diambil selepas proses undi yang dijalankan. – MalaysiaGazette