Home Utama Elak beli, guna produk kosmetik Sifu Kunyit, JJ Skincare Glowhite – KKM

Elak beli, guna produk kosmetik Sifu Kunyit, JJ Skincare Glowhite – KKM

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam tidak membeli dan menggunakan tiga jenis produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketiga-tiga produk tersebut disyaki boleh membawa kemudaratan kesihatan kepada penggunanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang dikesan mengandungi racun berjadual adalah Sifu Kunyit Day Cream, Sifu Kunyit Night Cream dan JJ Skincare Glowhite Night Cream.

“Sifu kunyit Day Cream dikesan mengandungi racuan berjadual Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone17-Valerate, Sifu Kunyit Night Cream pula dikesan racun Mercuri dan Betamethasone 17-Valerate manakala JJ Skincare Flowhite Night Cream pula dikesan racun Hydroquinone.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, maka produk berkenaan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan hari ini.

Dua jenis produk kosmetik yang disyaki mengandungi racun berjadual dilarang penggunaan serta penjualan di pasaran oleh KKM hari ini.

Tambah beliau, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Justeru katanya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini iaitu hydroquinone.

Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan jelas beliau, ia boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Katanya, Betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf selain boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

JJ Skincare Glowhite adalah produk kosmetik ketiga yang dikesan mengandungi racun berjadual oleh KKM dan dilarang penggunaan dan penjualan di pasaran selepas ini.

“Malah ia juga juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

“Oleh demikian, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” jelasnya.

Beliau juga memberi amaran mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai menggunakan produk-produk kosmetik itu supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” tambah beliau. – MalaysiaGazette