Home Nasional Kit antigen tiba minggu depan, mampu tingkatkan 20,000 ujian sehari

Kit antigen tiba minggu depan, mampu tingkatkan 20,000 ujian sehari

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 yang sepatutnya sampai semalam, dijangka tiba di negara ini selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana terdapat kesulitan dalam penghantaran bagi 200,000 kit tersebut.

“Sepatutnya sampai semalam, tapi ada kelewatan, jadi kita jangkakan mungkin akan sampai minggu depan.

“Diharapkan minggu depan kalau kit itu sampai, kita boleh guna untuk hospital-hospital kita,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Noor Hisham tidak menolak kemungkinan pihaknya mampu meningkatkan ujian pengesanan Covid-19 dari 16,000 kepada 20,000 sehari apabila kit tersebut sampai.

“Kalau minggu depan kita dapat 200,000 lagi RTP PCR, jadi ia meningkatkan ujian kita mungkin kepada 20,000 sehari,” katanya.

Katanya, pada masa ini pihaknya mempunyai keupayaan menjalankan ujian makmal sehingga 16,385 menggunakan RTP PCR.

“Semalam kita berjaya menjalankan ujian 14,197 iaitu hampir 15,000.

“Jadi kapasiti untuk ujian kita atau keupayaan kita telah ditingkatkan kepada 16,000 ujian.

“Kita telah mencapai lebih kurang 16,000 kes sehari, pencapaian ujian amat memadai untuk setakat ini,” katanya.

Sementara itu, ujian saringan Covid-19 yang dijalankan KKM setakat ini telah menepati penanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kalau kita lihat pengesanan kita, kita telah melaksanakan ujian sample individu sebanyak 132,361 dan yang positif dalam 5,742 kes.

“Ia bersamaan dengan 4.34 peratus iaitu lebih baik daripada tanda aras yang telah ditetapkan oleh WHO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette