KUALA LUMPUR – Isu pengadil Liga Malaysia (Liga-M) yang masih belum menerima tunggakan elaun daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta aduan rasmi dibuat kepada badan induk itu.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, aduan tersebut perlu dibuat melalui Unit Pengadil atau Sekretarit FAM secara bertulis dan disertai maklumat tepat seperti jumlah tunggakan untuk membolehkan pihaknya mengambil tindakan susulan.
“Berhubunglah dengan Unit Pengadil dan Sekretariat FAM secara rasmi melalui surat atau pun e-mel dengan penjelasan dan maklumat yang tepat untuk FAM mengambil langkah membantu.
“FAM boleh bertindak jika pihak pengadil mengambil langkah mengikut proses yang telah ditentukan. Sekadar melaporkan kepada media memang susah untuk ambil apa-apa tindakan sebab kita tidak tahu dengan terperinci.
“Adakah tidak dibayar tiga perlawanan, 10 perlawanan, melibatkan Liga M3, Piala FA atau mungkin dia tak hadir tapi nak tuntut, kita tidak tahu sebab tak ada maklumat,” kata Stuart dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isu tunggakan elaun pengadil sejak 14 April lalu melibatkan pengadil yang bertugas dalam Liga M3 sejak musim lepas dan juga aksi kelayakan Piala FA 2020 .
Menurut pendedahan media, ianya tertunggak sehingga tujuh ke lapan perlawanan.
Stuart menjelaskan pihaknya hanya menguruskan elaun pengadil Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal serta bertanggungjawab dalam membuat pelatikan dan menguruskan pembangunan pengadil.
“FAM menyediakan semua pelantikan pengadil untuk pertandingan dan MFL menguruskan bayaran kepada pengadil,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette