Home Seni Hidup Grup MATJHN tidak kelakar lagi, ada laporan polis

Grup MATJHN tidak kelakar lagi, ada laporan polis

Laporan polis yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Populariti mendadak kumpulan Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’ (MATJHN) tidak boleh dinafikan apabila berjaya mengumpul lebih 1.6 juta pengikut sejak ditubuhkan dalam tempoh dua minggu lalu.

Malah kumpulan itu menjadi tumpuan buat golongan wanita yang baru menceburi bidang masakan ketika waktu rakyat Malaysia memjalani arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun semakin hari, laman Facebook itu bagaikan hilang keceriaan apabila gambar masakan tidak menjadi yang dimuatnaik seolah-olah hanya lakonan.

Ada gambar masakan nampak seperti palsu dan dirancang untuk mewujudkan komen-komen kelakar walaupun terselit komen yang menyindir.

Lebih teruk, Facebook itu seolah-olah terpalit dengan cerita kurang enak apabila tularnya satu salinan laporan polis di media sosial.

Dalam laporan berkenaan, seorang wanita mendakwa dua individu telah menghina masakannya dengan meninggalkan komen berbaur kesat menerusi postingnya di Facebook tersebut.

Mengikut butiran yang tular, laporan itu dibuat di Balai Polis Pasir Putih, Ipoh, Perak.

“Saya telah melihat satu post grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Ocial dan ada dua pemilik akaun telah menghina masakan saya.

“Mereka seolah-olah tidak puas hati dan komen yang bukan-bukan tentang masakan saya.

“Siap ada gambar babi dan sebagainya. Komen mereka seperti tidak puas hati dengan masakan saya,” demikian kata wanita itu dalam laporannya.

Jelasnya ya, dia sekadar berkongsi gambar makanan sahaja di laman Facebook tersebut dan tidak meminta untuk diberikan kata-kata hinaan.

“Tujuan saya buat laporan polis adalah untuk minta mereka memohon maaf secara terbuka dan untuk rujukan pihak berkenaan,” kata wanita itu lagi.

Dalam pada itu, rata-rata netizen meluahkan rasa kurang setuju dengan tindakan wanita tersebut.

Malah warga Facebook berpandangan, dia tidak sepatutnya membebankan polis dengan kes sedemikian, tambah-tambah lagi pihak berkuasa kini cukup sibuk dalam berhadapan PKP dan Covid-19.

Menurut salah seorang moderator grup Facebook itu yang dikenali sebagai Qiqi, dia berpendapat hal itu sepatutnya dilaporkan kepada pengendali Facebook berkenaan.

Malah, dia turut menasihati pengikut grup berkenaan agar menjaga tutur kata bagi mengelakkan kejadian sedemikian rupa berlaku lagi di lain waktu. – MalaysiaGazette