Home Nasional Jalan penghubung ditutup, pergerakan makin rumit namun penduduk Selayang akur

Jalan penghubung ditutup, pergerakan makin rumit namun penduduk Selayang akur

Seorang penduduk dilihat membaca surat khabar bagi mengetahui isu semasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 APRIL 2020.

GOMBAK – Walaupun diarahkan patah balik, terpaksa mencari jalan penghubung lain dari rumahnya di Sungai Tua dengan pasaraya di Selayang Baru yang lebih jauh namun Zulmario Rasyid tetap akur.

Peniaga berusia 56 tahun itu menyifatkan apa juga arahan kerajaan buat masa ini adalah demi memastikan rantaian Covid-19 putus sekaligus mengelakkan ia terus merebak.

Pada akhirnya menurut beliau, ia adalah demi kebaikan rakyat keseluruhannya meskipun agak merumitkan.

“Pakcik tinggal tidak jauh dari sini, di Sungai Tua Baru, ini menghala ke pasar raya nak beli gula sebab nak berniaga. Ini (Jalan Selayang Baru) adalah laluan utama hari-hari kalau nak ke mana-mana sebelum ini nak ke pasar raya guna jalan ini.

“Sebab baru semalam jalan ini ditutup, jadi baru hari ini nak cari jalan mana boleh digunakan untuk ke pasar raya. Tapi apa pun kita sokong kerajaan demi untuk koronavirus cepat berlalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zulmario Rasyid

Semalam, kerajaan mengumumkan Selayang Baru sebagai PKPD ketujuh ini selepas mengambil kira rantaian jangkitan Covid-19 yang berisiko daripada Pasar Harian Selayang dan lokasi PKPD keenam iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur.

Enam parcel Selayang Baru yang terlibat dengan PKPD adalah Zon A iaitu di Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah; Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru); Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21); Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9); Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8) dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).

Selayang Baru merupakan jalan utama yang sering digunakan penduduk sekitar sebelum ini.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawalan keselamatan di Selayang Baru agak luar biasa apabila ada kawasan yang terlibat telah dipagari kawat berduri dengan ketinggian lebih satu meter.

Laluan kecil yang berisiko menjadi jalan tikus juga diletakkan dawai bagi mengelakkan tidak ada sesiapa yang lolos.

Banyak kenderaan kereta, motosikal juga diarahkan polis dan tentera yang berkawal di Jalan Besar Selayang Baru untuk berpatah balik.

Menerima nasib yang sama adalah Mohd Nor Azwan Mohd Nazri, 40-an.

Mohd Nor Azwan Mohd Nazri

Beliau mengaku pergerakannya untuk mendapatkan bekalanĀ  jualan semakin merumitkan, apatah lagi yang terlibat adalah penutupan jalan penghubung majoriti penduduk di kawasan Selayang untuk ke pasar raya barangan keperluan harian.

Tambahan pula beliau tidak mengetahui pengumuman PKPD di Selayang Baru yang dibuat oleh kerajaan semalam.

“Saya tinggal Kampung Laksamana, sekarang ini susah nak beli barang berniaga sebab jalan di sini banyak ditutup.

“Tergugat juga nak bergerak sebab banyak jalan tutup. Beli mana yang ada. Saya pun tidak tahu PKPD di beberapa kawasan ini, jadi tidak bersedia. Susah sikitlah,” katanya.

Soo Ng Nem

Pekerja swasta Soo Ng Nem, 43, pula berkata, kesan daripada PKPD di Selayang BaruĀ  akan menghadkan lagi kekerapannya keluar membeli barang keperluan selepas ini.

Jika sebelum ini dua kali seminggu, Ng yang tinggal berdekatan berkata, selepas ini beliau akan cuba keluar sekali sahaja seminggu untuk langkah keselamatan dalam masa yang sama tidak menyusahkan dirinya mencari jalan lain untuk sampai ke pasar raya.

“Saya akan keluar seminggu keluar atau dua kali. Susah juga mahu keluar, ada askar polis buat sekatan. Kita cuba elaklah, jadi keluar cuma untuk beli barang keperluan rumah,” ujarnya.-MalaysiaGazette