Home Akhbar Cina Kedai kopi cadang “seorang semeja” selain tapau

Kedai kopi cadang “seorang semeja” selain tapau

Notis 'Take Away Only' di sebuah restoran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Pengusaha kedai kopi mencadangkan supaya kawalan dilonggarkan dengan membolehkan “seorang semeja” untuk makan di restoran selain membenarkan “tapau” sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Datuk Ho Su Mong berkata, pengusaha perlu berikhtiar untuk kekal relevan.

Katanya kepada China Press, penjarakan sosial harus diteruskan dan berkumpul di kedai kopi dengan tiga empat orang duduk semeja memang tidak boleh diterima.

Su Mong berkata, pihaknya justeru akan mengemukakan cadangan “seorang semeja” kepada Majlis Tindakan Ekonomi dan kerajaan untuk pertimbangan.

“Cadangan kami adalah ” seorang semeja” dibenarkan sepanjang tempoh PKP dan ia boleh dilonggarkan kepada “dua orang semeja” selepas tamatnya PKP,” katanya.

Su Mong berkata, 30 peratus kedai kopi kini beroperasi dalam keadaan “separa buka” tetapi mereka kehilangan 90 peratus pelanggan.

“Ramai juga yang memilih untuk tutup kedai sahaja dalam tempoh PKP selepas makanan yang disediakan tidak habis dijual,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat kedai kopi harus tetap beroperasi dalam keadaan “separa buka” walaupun ia tidak dapat menjaminkan keuntungan yang baik.

“Yang penting adalah mengekalkan pelanggan dan memastikan mereka setia dengan kedai,” katanya.

Kata Su Mong, pihaknya pernah memberi beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk mengurangkan sewa, tawaran pinjaman tanpa faedah dan subsidi pekerja.

“Kami berterima kasih kerana cadangan kami juga dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi.

“Secara keseluruhannya, kami dapat apa yang diminta untuk memastikan sektor kedai kopi dapat terus berlangsung selepas PKP,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada kedai kopi yang gulung tikar disebabkan PKP, tetapi jumlahnya tidak dapat dianggarkan pada masa ini. – MalaysiaGazette