Marhaba.. Alhamdulillah hari ini sudah masuk hari ketiga kita berpuasa. Ada yang berbuka dan bersahur berseorangan. Ada yang bersama anak dan keluarga tercinta.
Tak kurang yang terperangkap di rumah mertua. Ada pula yang tumpang menginap lebih sebulan di rumah sahabat setelah gagal pulang ke rumah sendiri dek kerana PKP.
Apa pun ini semua pengalaman buat kita. Sepanjang empat puluh tahun lebih Che Pah menumpang hidup di bumi yang fana ini, inilah kali pertama Che Pah merasa bersendiri dibulan Ramadhan.
Segalanya dibuat sendiri. Memasak sendiri. Berbuka sendiri dan bersahur juga sendiri. Namun ini semua Che Pah anggap pengalaman manis.
Melalui saat getir sebegini membuat Che Pah terkenang kata kata seorang sahabat. Beliau seorang yang sangat terkenal dalam dunia andaman sedikit masa lalu.
Beliau yang Che Pah maksudkan ialah Kak Yan Seri Andam atau nama nama sebenarnya Kak Mehran Sedit.
Pernah disatu ketika itu, Che Pah berada dalam keadaan yang sangat menekan. Kala itu hati sangat sedih. Jiwa begitu lara mengenangkan keadaan yang berlaku.
Waktu itu Che Pah menghadapi satu peristiwa paling hiba berkait dunia pekerjaan. Fitnah melanda. Itu cabaran pertama buat Che Pah dalam dunia berkerjaya.
Pertemuan dengan Kak Yan membuatkan hati ini hilang laranya. Terbasuh sedikit kesedihan yang sedang menjalar dijiwa.
Kata Kak Yan, usah diralatkan keadaan yang berlaku. Peristiwa yang sangat mencengkam jiwa kita diwaktu ini kata Kak Yan adalah sesuatu yang sangat indah untuk kita kenang dimasa akan datang.
Luahan kata kata Kak Yan ini Che Pah simpan kemas dalam kalbu sehingga hari ini. Seolah masih terngiang lontaran nasihat hikmat yang terpacul dari mulut seorang kakak yang berpengalamandi dicorong telinga Che Pah hingga kini.
Jadi bagi yang sedang bersedih, hayati kata kata Kak Yan tadi. Perhalusikan ia. Semoga kesedihan itu sedikit demi sedikit diangkat oleh Ilahi dan diganti kebahagiaan yang menanti.
Kita tinggalkan dulu kisah tadi, mari Che Pah bawa awak semua menelusuri kenangan Che Pah sewaktu kecil dibulan penuh baraqah ini.
Sehari dua ini Che Pah pohonkan kepada Yang Maha Memberi agar apalah kiranya diilhamkan Che Pah sebuah coretan yang menarik untuk dikongsi kepada awak semua.
Maklum, kita ini hanyalah hamba. Keupayaan kita hanya sebatas akal seorang manusia. Kecerdikan akal itu pun kurniaan Yang Maha Kuasa. Jadi lebih molek jika Che Pah gantungkan kepada Dia untuk menguruskannya.
Akhirnya ilham datang usai solat Dhuha. Terima Kasih Allah. Engkau yang berkuasa. Aku hanya hamba.
Kala bersendirian di Rumah Tanjong, setiap pelosok rumah yang Che Pah diizinkan pandang mengimbau seribu kenangan buat Che Pah.
Masih Che Pah ingat sambutan Ramadan kala semua masih ada. Walid, Umi, Emak, Abang, Che Pah dan adik Che Pah.
Ramadan cukup membahagiakan kami diwaktu itu. Ramadan amat berbeza dengan bulan yang lain bagi keluarga Che Pah.
Ramadan bermakna kami akan dihidangkan dengan sup kambing setiap hari. Ini kemestian bagi Walid. Sudah menjadi tradisi. Tidak lengkap tanpa sup kambing.
Setiap hari Umi akan masak sup kambing. Jadi semasa berbuka puasa, Walid pastikan setiap ahli keluarga menghirup sup kambing seorang semangkuk.
Jadi kemarahan bagi Walid jika kami adik beradik tak makan. Walid mahu pastikan kami dapat makanan yang berkhasiat setelah separuh hari menahan lapar dan dahaga.
Part inilah yang paling menyusahkan hati Che Pah. Bayangkan sebulan penuh menghadap sup kambing. Mahu biru dibuatnya.
Namun sebagai anak, mana mungkin Che Pah dan adik beradik membantah. Mahu tak mau, biru tak biru tegokkan jugalah sup kambing itu tadi.
Walid pula punya stail tersendiri kala berbuka. Walid akan berbuka dengan kurma. Selepas itu Walid akan makan beberapa keping roti bakar berserta sup kambing.
Roti Bakar Walid wajib dipotong empat persegi dalam saiz yang kecil. Walid akan tabur roti dalam sup sebelum dimakan.
Ini kemestian bagi Walid. Maka kami adik beradik bergilir gilir membakarkan roti untuk Walid. Che Pah akan bakar roti sekitar beberapa minit sebelum laungan azan untuk berbuka.
Walid mahu roti yang panas. Itulah Walid. Walid seorang yang mudah dan ringkas. Tapi selera Walid berbeza dari orang lain.
Umi pula seorang ibu yang sangat cekap dan pantas bab masak memasak. Setiap kali bulan Ramadan muncul, Umi akan minta kami senarai kan menu yang hendak kami makan.
Paling Che Pah ingat ialah nasi lemak Umi. Umi pandai melayan kerenah anak anak. Umi pandai mencuit selera kami apatah lagi dibulan puasa.
Bagi menggalakkan anak anak rajin berpuasa penuh, Umi sering kali tampil dengan idea berbeza dalam menghidangkan makanan. Ini bertujuan untuk memikat selera kami.
Nasi lemak Umi unik. Uniknya kerana ia dihidangkan dalam balutan daun pisang. Persis seperti nasi lemak kita beli di luar. Umi bungkus satu persatu. Umi bungkus dengan sabar. Penuh kasih sayang.
Nasi lemak yang telah siap ditanak dan masih panas, akan Umi ceduk dari periuk dan letak atas daun pisang yang telah dibersihkan.
Umi letak sambal, telur dan timun. Kemudian Umi bungkus rapi. Bayangkan bau nasi lemak yang mengharum setelah dibungkus dalam daun pisang. Cerita pun tak gunalah. Akhirnya tiga hingga empat bungkus masuk dalam perut kami sejurus berbuka.
Umi kurang gemar membeli makanan atau kuih di luar. Semua Umi buat sendiri. Umi bimbang makanan atau kuih yang dibeli kurang bersih.
Waktu itu mana ada pasar Ramadan. Mimpilah nak jumpa. Waktu itu di kampung Che Pah orang berjualan kuih atau makanan hanya di rumah.
Antara kuih yang gemar Umi buat sepanjang Ramadan ialah seperti sum sum yang dimakan bersama air gula melaka, kasturi yang berintikan kacang hijau serta kuih sejuk yang dihidang bersama buah buahan campuran dan susu.
Kami bertiga beradik ini pula ada kisah yang tersendiri. Jam 4.30 petang, Che Pah sudah mula bentang safrah sama ada di atas meja atau ambin.
Kadang kadang kami berbuka dengan bersila di atas ambin. Sekadar untuk mengubah suasana berbuka. Selalunya makanan dihidang di atas meja.
Che Pah mulalah sibuk menghidang. Punyalah tak sabar hendak berbuka. Paling tak sabar nak meneguk air batu. Haus jangan cakap. Mengalahkan orang berkerja di sawah hausnya.
Setiap seorang dari kami punya satu jug air. Jadi ada tiga jug air kesemuanya. Bayangkan. Boleh habis pula tu. Bila diingatkan sekarang, Che Pah jadi hairan macam mana satu jug air boleh dihabiskan waktu berbuka sahaja. Geli hati bila diingatkan.
Emak atau Nenek Che Pah punya kesibukan yang lain pula. Emak orang paling sibuk mengemas rumah di bulan puasa. Emak sudah berumur tapi kekuatan Emak mengalahkan orang muda.
Bayangkanlah, habis satu rumah Emak lap dindingnya. Sawang di siling bersih disapu. Simen luar dan dalam berkilat diberus.
Akan tetapi Emak tidak keseorangan. Che Pah setia di sisi. Maklum Che Pah kan pembantu peribadi. Mesti sentiasa ada di sebelah bos.
Apa bos buat, Che Pah buat. Kalau tak betul, bos tegur. Jika masih tak pandai, bos tunjukkan. Itulah cara Emak mendidik Che Pah perihal kerja di rumah.
Maka itu Che Pah sangat terdidik dengan tugasan mengemas rumah. Che Pah sudah jadi sangat cerewet bab kekemasan rumahtangga. Semua harus detail.
Untung duduk dengan nenek. Banyak benda kita belajar. Jadi apabila tinggal sendirian, kita tidak kekok. Semuanya kita mandiri.
Kini semua ini tinggal kenangan manis buat Che Pah. Kala bersendiri, seolah terpandang pandang Walid, Umi, Emak serta adik beradik di rumah pusaka ini.
Walau Walid, Umi dan Emak telah tiada, namun didikan serta kasih sayang yang dicurahkan mereka terus membekas di dalam jiwa Che Pah.
Pengalaman bersama mereka tak akan pernah terluputkan. Akan Che Pah bawa sehingga ke penghujung usia. – MalaysiaGazette