LONDON – Arsenal mendahului persaingan dalam mendapatkan bintang sayap Chelsea,Willian secara perjanjian pra-kontrak akhir musim ini.
Kontrak semasa bintang Brazil itu dengan the Blues dikhabarkan akan tamat akhir musim ini.
Rundingan lanjutan kontrak pemain itu di Stamford Bridge dikatakan berakhir tanpa sebarang perkembangan positif Mac lalu.
Chelsea bimbingan Frank Lampard berminat untuk menyimpan Willian tetapi pemain itu mengharapkan kontrak jangka panjang berbanding tempoh 12 bulan yang ditawarkan kelab tersebut.
Willian walaupun gembira dengan kehidupan di London menyifatkan ibu kota itu sebagai kediaman keduanya – memberi isyarat kepada the Gunners kendalian Mikel Arteta yang sedang mencari pemain alternatif untuk menguatkan jentera musim ini.
ESPN Sport mendakwa ejen pemain itu percaya Arsenal merupakan destinasi berpotensi untuk bintang sayap itu sekali gus menjadikan Arsenal mendahului senarai kelab pilihan yang sedang dipertimbangkan pemain tersebut.
Willian juga dikaitkan dengan Liverpool, Dortmund dan Paris Saint Germain tetapi Arsenal dipercayai memastikan pemain itu kekal dengan kehidupan London agak lama.
Arsenal mendahului senarai pembelian Willian. khususnya disebabkan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan realiti kewangan bola sepak di serata dunia.
Ada berita mendakwa hubungan persahabatan akrab Willian dengan pemain senegaranya, David Luiz yang beraksi dengan the Gunners kunci utama untuk Arsenal mengintai bintang tersebut.
Malah, Arsenal dikatakan bersedia untuk memenuhi kehendak pemain berkenaan dengan menawarkan kontrak dua atau tiga tahun seperti yang diidamkannya.- MalaysiaGazette