KUALA LUMPUR – Polis Jepun tidak memiliki kuasa menahan mereka yang melanggar pengekangan Diri (self restrain) namun mereka boleh menahan sesiapa yang membuat gurauan sehingga mencetuskan panik berkaitan Covid-19.
Rakyat Malaysia di Jepun, Dr. Soraya Othman berkongsi pengalaman itu berkata, menerusi laporan berita tempatan terdapat penahanan ke atas individu yang mendakwa dia ialah pembawa virus Covid-19 walaupun sebenarnya dia tidak mempunyai virus tersebut.
“Situasi itu berlaku dipercayai kerana dia berniat mengganggu perniagaan orang lain ketika kunjungannya ke premis perniagaan itu. Dalam satu insiden seorang warga emas memberitahu kru penerbangan bahawa dia disahkan positif Covid-19 sejurus kapal terbang yang dinaikinya berlepas.
“Akibatnya, pesawat itu patah balik ke lapangan terbang Narita dan penumpang berkenaan ditahan polis kerana mengganggu perniagaan.
“Kesimpulannya, virus tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan ancaman atau joking manner di Jepun,” katanya.
Soraya berasal dari Sungai Petani, Kedah dan datang ke Jepun sejak tahun 2010 untuk mengikuti program Asian Youth Fellowship di bawah tajaan Yayasan Jepun. Beliau kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Kehormat di Universiti Tokyo (kursus Urban Engineering) di bawah tajaan kerajaan Jepun.
Soraya bertemu jodoh dengan Ahmad Muhaymin Abd Rani yang juga bekerja di Jepun serta dikurniakan dua anak, Mirza Miyaz dan Almir Haziq.
Tambah Soraya, selain membuat gurauan mengenai Covid-19, pihak berkuasa juga boleh menahan individu yang mendatangkan mudarat kepada orang ramai melalui penyebaran virus itu.
“Contohnya, pada 4 Mac lalu, seorang lelaki berumur 57 tahun di wilayah Aichi tidak melakukan kuarantin walaupun positif Covid-19. Sebaliknya, dia telah berniat untuk menyebarkan virus tersebut dengan berkunjung ke Filipino Pub di bandar Gamagori.
“Bagaimanapun sebelum sempat ditahan polis, dia telah dimasukkan ke hospital pada 5 Mac dan meninggal pada 18 Mac lalu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, walaupun tiada undang-undang yang boleh mengarahkan rakyat untuk duduk di dalam rumah tetapi statistik dari syarikat telekomunikasi menunjukkan ada penurunan peratusan interaksi sosial di tempat yang kebiasaannya sesak seperti di kawasan bandar.
“Ini mungkin selaras dengan usaha pelbagai pihak yang menyarankan telework dari rumah dan perniagaan ditutup pada hujung minggu secara sukarela. Gabenor Wilayah Kanagawa juga baru-baru ini ada meminta rakyatnya tidak datang ke kawasan pantai bagi mengelakkan kesesakan.
“Bagaimanapun, di kawasan perumahan masih berlaku kesesakan orang ramai seperti di pasar raya, taman, pusat peranginan dan sebagainya.
“Kerajaan juga menggesa hanya seorang ahli keluarga keluar membeli barangan keperluan harian, beriadah di luar secara selamat, memakai topeng muka ketika bersantai di luar, mengoptimumkan penggunaan internet dan mengehadkan diri dari berada di luar.
Katanya, masih terlalu awal untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan pengekangan diri tetapi menurut pakar model epidimiologi di Jepun, Prof. Nishiura Hiroshi yang mengetuai Cluster Response Team secara sifirnya, jika rakyat berjaya mengurangkan interaksi sosial sebanyak 80 peratus, kadar jangkitan dapat dikawal dalam masa 15 hari.
Dalam pada itu, katanya, media di sini agak telus dalam memberi laporan tentang lokasi, umur, jantina pesakit dan kronologi jangkitan.
Berikutan ruang terhad di hospital, Jepun menempatkan pesakit simptom ringan Covid-19 di hotel dan sedang mempersiapkan pusat konvensyen Makuhari Messe bagi tujuan sama manakala pesakit simptom kritikal sahaja akan ditempatkan di hospital.
Jumlah jangkitan pada 25 April 2020 adalah 13, 321 dan 360 kematian dilaporkan.- MalaysiaGazette