Home Nasional Penderma darah dibenarkan ke hospital untuk derma darah semasa PKP

Penderma darah dibenarkan ke hospital untuk derma darah semasa PKP

Seorang jururawat melakukan proses pengambilan darah yan turut serta mengambil bahagian menderma darah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Gambar arkib MalaysiaGazette


KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan pergerakan penderma darah untuk pergi ke hospital dan klinik kesihatan bagi tujuan menderma darah dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekalan darah di Tabung Darah Negara berkurangan sebanyak 33 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu

“Pusat Darah Negara telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan pergerakan penderma darah untuk ke hospital dan klinik kesihatan untuk menderma darah,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri sekali lagi memberi jaminan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi dan menampung permintaan berterusan dalam negara.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menerima sejumlah 14,783 aduan dan pertanyaan sehingga 26 April 2020 melalui 4 saluran utama iaitu aplikasi WhatsApp (6,229), Sistem E-Aduan (5,155) talian Hotline (2,453) dan talian melalui Enforcement Command Centre (ECC) (946).

Sebanyak 2,291 aduan harga dan bekalan telah direkodkan untuk tindakan bahagian penguatkuasa melalui sistem E-Aduan. Daripada jumlah itu, 1,845 aduan harga dan bekalan telah selesai dan 446 aduan masih dalam siasatan.-MalaysiaGazette