Home Sukan Serie A akan mulakan latihan perseorangan mulai 4 Mei

Serie A akan mulakan latihan perseorangan mulai 4 Mei

Serie A

ROM – Serie A Itali dibenarkan untuk kembali memulakan latihan tetapi dengan syarat latihan pemain secara individu sahaja dibenarkan mulai 4 Mei ini manakala latihan berpasukan hanya dibolehkan dua minggu selepas itu.

Itu antara langkah pertama diumumkan Perdana Menteri Itali ketika kerajaan berusaha mengembalikan keadaan normal secara beransur dari Koronavirus 2019 (Covid-19).

Kini wujud harapan segala aksi Serie A akan diteruskan kembali antara 27 Mei dan 2 Jun ini dengan tarikh akhir penamatan musim liga ditetapkan Ogos ini.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengumuman rasmi tarikh tetap Serie A akan kembali diteruskan mahupun secara tertutup tanpa penonton.

Taman-taman rekreasi juga dijangka dibuka di negara yang sehingga kini merekodkan angka kematian tertinggi di dunia.

Pada Ahad semalam, Itali melaporkan 260 kes kematian baharu akibat Covid-19 antara angka terendah harian yang pernah direkodkan sejak 14 mac lalu.

PM Giuseppe Conte dalam perutusan khasnya di televisyen Itali menjelaskan para pemain kelab Serie A dibenarkan menjalani latihan secara perseorangan mulai 4 Mei ini dan secara berpasukan pada 18 Mei ini.

“Kemudian kita akan menilai situasi sama ada keadaan boleh mengizinkan kita untuk menamatkan baki saingan liga domestik musim ini.

“Buat masa ini kita perlu menyelesaikan segala perbincangan untuk memastikan bahawa jika kita mencapai tahap itu, keselamatan semua pihak perlu diambil kira secara serius ekoran pandemik maut yang melanda negara.

“Kita mengambil berat tentang para atlet kita dan tidak mahu mencetuskan risiko jatuh sakit.

“Malah apabila fasa kedua perintah larangan berkumpul bermula 4 Mei nanti dengan kelonggaran peraturan, penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter wajib dikekalkan orang ramai dan akan dilanjutkan kepada dua meter penjarakan sosial apabila dilaksanakan nanti,” tegasnya.-MalaysiaGazette