KUALA LUMPUR – Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi cabaran dan halangan terutamanya ketika kekurangan sumber dalam memastikan pasukan pertahanan negara sentiasa berada di haluan sebenar selari dengan situasi semasa.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, tentera laut harus membuat persediaan rapi bagi menghadapi arus perubahan kehidupan dunia termasuklah kesediaaan untuk melaksanakan tugas di dalam keadaan kebiasaan baharu.
“Penghayatan yang lebih mendalam terhadap empat nilai teras TLDM iaitu kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan.
“Tanamkan nilai teras ini sebaiknya dalam hati dan sanubari agar setiap tindakan dan tanggungjawab kita sebagai warga Tentera Laut Diraja Malaysia memenuhi kehendak organisasi demi negara tercinta ini,” katanya menerusi perutusan khas sempena Hari TLDM ke-86 hari ini.
Mohd Reza turut menasihatkan agar anggota TLDM perlu membudayakan amalan tegur menegur dan ingat mengingati antara satu sama lain kerana menasihati dan menegur merupakan perbuatan yang sangat baik dan dianjurkan dalam Islam.
“Sememangnya kita sebagai manusia perlu mendapat teguran supaya kita menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri sendiri,” ujarnya.
Katanya lagi, niat menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk.
Dalam pada itu, Mohd Reza merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan di atas segala usaha dan sokongan padu terhadap inisiatif yang dilaksanakan bagi memenuhi agenda pembangunan, keupayaan dan kesejahteraan warga TLDM.
Malah, ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan turut disampaikan di atas jasa bakti barisan hadapan yang berkorban dan berusaha memerangi penularan wabak Covid-19.
“Teruskan semangat juang yang tinggi dan terus cekal dalam melaksanakan tugas yang murni ini.
“Pengorbanan anda semua tatkala kita sedang memerangi Covid-19 amat tinggi nilainya kepada negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette