Home Nasional 33 projek bekalan air untuk Kelantan

33 projek bekalan air untuk Kelantan

Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Lebih 261,000 pemilik akaun bekalan air terawat di Negeri Kelantan dijangka menikmati perkhidmatan bekalan air yang lebih baik berikutan pelaksanaan 33 projek bekalan air dari sekarang sehingga tahun 2025.

Fokus diberikan kepada dua aspek utama iaitu pembangunan dan menaik taraf loji rawatan air (LRA) serta pengurangan kadar air tidak terhasil.

Sebanyak 12 projek pembangunan dan menaik taraf LRA melibatkan pembiayaan pinjaman RM176 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dua projek dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air
(KASA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM100 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara projek-projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan LRA Merbau Chondong, LRA Tanjung Mas, LRA Felda Chiku, LRA Kg Telok, LRA Tualang dan 18 projek LRA mini.

”Pelaksanaan projek ini sangat penting bagi meningkatkan liputan bekalan air terawat yang kini berada pada tahap 68% di kawasan bandar dan 72% di kawasan luar bandar.

”Kerajaan Persekutuan melalui KASA juga memperuntukan geran RM69.95 juta bagi pelaksanaan Program NRW Kebangsaan (Pendekatan 1) dan lebih RM200 juta melalui pembiayaan PAAB bagi program penggantian paip yang sedang dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2023 merupakan sebahagian dari pembangunan modal berjumlah RM400 juta yang diluluskan.

”Pelaksanaan projek ini penting untuk mengurangkan kadar NRW Kelantan yang mencatat paras 50.8% pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Kelantan juga melabur RM30 juta bagi pelaksanaan 16 projek membaik pulih telaga dan pembinaan LRA mini di Pintu Geng, Perol, Ketereh, Wakaf Bharu, Kelar dan Telok Mesira.

Kementerian ini akan meneruskan kerjasama yang sedia terjalin erat dengan pentadbiran Negeri Kelantan dalam memastikan bekalan air terawat yang berkualiti kepada seluruh rakyat Kelantan. – MalaysiaGazette