Home Politik Ahli Parlimen tak hadir sidang 18 Mei boleh hilang kerusi

Ahli Parlimen tak hadir sidang 18 Mei boleh hilang kerusi

Takiyuddin Hassan

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang tidak hadir pada persidangan sehari Dewan Rakyat pada 18 Mei depan boleh hilang kerusi.

Menurut Takiyuddin, persidangan yang diadakan adalah bagi sesi penggal ini yang diadakan dalam tempoh enam bulan.

“Itu dari segi perundangan, mana-mana ahli Parlimen yang tidak hadir sidang Parlimen dalam tempoh enam bulan sepenuhnya boleh dibatalkan jawatan sebagai ahli Parlimen.

“Tengoklah, kalau sesiapa tidak hadir, itulah kesan dari segi undang-undang,” katanya hari ini.

Takiyuddin ditanya mengenai kenyataan Anthony yang berkata ahli Parlimen boleh kehilangan kerusi masing-masing sekiranya mereka tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Persidangan 18 Mei depan akan diadakan untuk mengelakkan tempoh enam bulan berlalu tanpa sebarang mesyuarat.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 9 Mac lalu tetapi ini ditunda oleh kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan Perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen yang tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

Untuk rekod, mesyuarat terakhir adalah pada 5 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette