Home Pendapat Jangan perbesarkan isu Rohingya

Jangan perbesarkan isu Rohingya

9 bukti “cinta dan kasihnya” kerajaan PH kepada pelarian Rohingya.-Gambar hiasan

KENYATAAN Majlis Ulama Rohingya (MUR) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan melibatkan seorang daripada bangsa Rohingya yang didakwa telah mengetengahkan beberapa tuntutan seolah-olah mewakili keseluruhan bangsa itu di Malaysia sepatutnya meleraikan kekecohan yang sedang berlaku tentang isu ini. Jelas sekali Zafar Ahmad Abdul Ghani yang bertindak atas kapasiti sebagai Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom)
dilaporkan bergerak secara individu atau mempunyai persatuan sendiri kerana beliau tidak pernah dilantik secara rasmi untuk mewakili bangsa Rohingya.

Malah lebih pelik lagi apabila Zafar pula dalam satu kenyataan susulan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti Melayu bodoh, menuntut hak kerakyatan penuh pelarian Rohingya dan mempertikaikan pihak penguatkuasa Malaysia menolak
bot pelarian berkenaan daripada mendarat di negara ini. Maka timbul persoalan apa sebenarnya sedang berlaku dan kenapa isu ini secara tiba-tiba kecoh dan diperbesarkan? Apakah ada pihak yang cuba baling batu dan sembunyi tangan dengan agenda peribadi tertentu?

Justeru eloklah kita serah hal ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dari segala sudut supaya kita dapat mengetahui siapa yang menjadi dalang di sebalik kekecohan ini. Sementara itu, kita berharap anggota masyarakat akan sabar dan tenang serta
mengawal emosi, jangan kita bertindak terburu-buru ikut perasaan lagi-lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Hal ini penting kerana sejak meletusnya kekecohan tuntutan ini, kita dapat melihat dalam media sosial para netizen mula melemparkan pelbagai kenyataan yang berbentuk kejian dan juga ugutan. Penulis boleh memahami perasaan marah, kecewa dan tidak berpuas hati seluruh rakyat Malaysia kerana selama ini kita telah membuat yang terbaik untuk melindungi dan membantu etnik Rohingya di negara kita. Jadi kita hilang sabar seketika apabila dituduh berlaku kejam, zalim serta tidak berperikemanusiaan kepada etnik ini. Secara peribadi penulis juga marah dan tidak boleh menerima tuduhan seperti ini.

Namun kita perlu berfikir secara matang dan dalam konteks yang lebih luas. Ini kerana kita percaya majoriti etnik Rohingya yang ada di negara kita sekarang cukup bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat kerana membantu mereka selama ini. Jadi kita tidak boleh melayan karenah seorang dua yang mungkin ada agenda peribadi atau dalang di sebalik mereka yang cuba mencetuskan huru-hara dan menjejaskan nama baik negara.

Ironinya seluruh masyarakat antarabangsa tahu betapa negara kita sentiasa terbuka untuk membantu golongan yang ditindas dan dizalimi terutamanya yang menjadi mangsa peperangan dan pembunuhan beramai-ramai atau pembersihan etnik seperti
ini sejak dari dulu lagi. Apakah dunia boleh melupakan kemurahan hati negara dan rakyat kita ketika membantu pelarian dari Bosnia, Syria, Kemboja, Vietnam dan sebagainya. Malah kita juga menjadi antara negara yang sentiasa terkehadapan
dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat negara lain ketika dilanda musibah seperti, membantu mangsa taufan di Filipina serta menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Justeru tidak perlulah kita perbesarkan isu Rohingya ini kerana agak tidak berbaloi kita melayan karenah seperti ini tatakala kita sedang berperang memerangi wabak Covid-19 dan dalam misi untuk membantu dan menyelamatkan nyawa rakyat kita sendiri.

Biarlah pihak berkuasa siasat sehingga ke akar umbi dan mengambil tindakan yang sewajarnya, dan kita memohon kepada individu atau pihak yang cuba mencetuskan kekecohan seperti ini agar jangan menguji kesabaran kita. Kepada bangsa Rohingya
di negara ini, bermuhasabahlah sebentar penindasan yang dilakukan kepada anda di negara sendiri serta segala bantuan yang telah kami hulurkan selama ini. Setiap negara ada peraturannya sendiri dalam menerima dan menguruskan pelarian, jadi patuhilah peraturan kami seadanya supaya tidak menimbulkan sebarang masalah kepada semua pihak.

Hakikatnya, kita percaya apapun tuduhan yang cuba dilemparkan kepada kerajaan mahupun kepada rakyat kita oleh mana-mana individu mahupun organisasi yang tidak bertanggungjawab, kita akan tetap terus menghulurkan bantuan kepada pelarian yang ditindas seperti ini atas dasar kemanusiaan. Itulah sifat semula jadi rakyat negara ini. Jadi sekali lagi tidak perlulah kita memperbesarkan isu ini kerana kita sedang berhadapan dengan wabak yang lebih serius.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

 

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategik Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

 

1 Komen

  1. CUKUPLAH MEMBANTU MEREKA HANYA DI SANA!!
    BUKAN BAWA MEREKA MASUK KE DALAM NEGARA MALAYSIA,
    TOLONG BERFIKIRAN PANJANG SIKIT,
    CARA HIDUP MEREKA TERLALU JAUH BERBANDING KITA,
    SIFAT KOTOR MEREKA TIDAK MUSTAHIL MAMPU MENGUNDANG PELBAGAI WABAK PENYAKIT YANG HANYA AKAN MENYUSAHKAN RAKYAT DAN NEGARA,
    TOLONG FIKIRKAN RAKYAT TERLEBIH DAHULU BERBANDING MEREKA

Comments are closed.