Home Nasional MOT, MOF diminta segerakan bantuan kepada pemandu e-hailing

MOT, MOF diminta segerakan bantuan kepada pemandu e-hailing

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan diharap dapat mempercepatkan pemberian bantuan tunai sebanyak RM500 kepada para pemandu e-hailing untuk fasa seterusnya.

Dalam satu kenyataan di sini, MyCar berkata, bantuan segera itu susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berjalan agak lama bermula dari 18 Mac 2020 sehingga sekarang.

Menurutnya, penguatkuasaan PKP telah menyebabkan permintaan pengguna e-hailing menurun hampir 90 peratus, sekali gus menyebabkan para pemandu e-hailing secara sepenuh masa telah hilang punca pendapatan.

”Pihak pengurusan MyCar amat berharap kerajaan dapat mempercepatkan pemberian bantuan ini supaya para pemandu dapat kekal bermotivasi dan positif.

“Bantuan yang diberikan juga dapat sedikit sebanyak membantu para pemandu untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan sebagainya,” katanya.

MyCar juga tambahnya berharap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat mempertimbangkan bantuan kecil kepada para pemandu e-hailing semasa pandemik Covid-19.

Menurutnya, bantuan tersebut boleh diberikan kepada mereka yang telah memulakan caruman sebelum ini.

”Kami mengharapkan agar segala perkara yang telah diusulkan ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan bagi membantu memudahkan urusan para pemandu e-hailing serta memberikan mereka sumber pendapatan yang mencukupi untuk terus kekal aktif sepanjang tempoh PKP ini,” katanya. – MalaysiaGazette