Home Nasional MRT kecualikan sewa kepada peniaga

MRT kecualikan sewa kepada peniaga

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengecualikan sewa untuk tempoh tiga bulan bagi peniaga yang beroperasi di stesen-stesen MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mulai 1 April 2020.

Pengecualian ini adalah sejajar dengan keputusan kerajaan bagi semua syarikat milik kerajaan dalam mengambil langkah membantu perniagaan yang kini sedang menghadapi kesulitan akibat pandemik global Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Abdul Yazid Kassim berharap pengecualian sewa ini dapat membantu peniaga yang menghadapi kesukaran dalam perniagaan mereka disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Para peniaga di stesen kami sangat bergantung kepada pengguna pengangkutan awam dan pergerakan bebas mereka. Semenjak PKP berkuat kuasa, penggunaan pengangkutan awam menurun secara drastik dan ini memberi kesan kepada perniagaan kedai-kedai tersebut,” katanya.

Katanya, sembilan syarikat dengan jumlah 39 buah kedai akan mendapat manfaat daripada pengecualian ini, di mana penjimatan keseluruhan adalah sekitar RM 400,000.

MRT Corp akan mengkaji tempoh pengecualian ini sekiranya PKP dilanjutkan menjangkaui 30 Jun 2020, yang merupakan akhir tempoh bagi tempoh pengecualian tiga bulan semasa.

Kira-kira 80% peruncit di stesen Laluan SBK adalah kedai runcit. Oleh kerana jumlah penumpang telah menurun dengan ketara disebabkan operasi tren yang terhad semasa PKP, banyak peniaga telah memilih untuk menutup kedai sementara bagi mengurangkan kos operasi.

Abdul Yazid menambah, MRT Corp bersama-sama para pekerjanya telah menyumbangkan sejumlah RM40,100.00 kepada Dana Covid-19 Kementerian Kesihatan yang sedang mengumpul dana untuk membeli peralatan perlindungan diri untuk barisan hadapan perubatan dan juga peralatan lain untuk merawat mangsa Covid-19.

Jumlah tersebut merangkumi RM15,000 daripada MRT Corp dan RM25,100.00 yang disumbangkan oleh pekerja syarikat melalui usaha pengumpulan derma yang dilaksanakan oleh Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan MRT Corp.

“Kami di MRT Corp ingin memainkan peranan dalam memerangi virus Covid-19 dan menunjukkan sokongan kami kepada pegawai perubatan yang bekerja tanpa menghiraukan penat lelah dalam melindungi negara daripada wabak ini,” katanya.

Abdul Yazid berkata, beliau terharu dengan sikap dermawan para pekerja MRT Corp kerana telah menderma dengan murah hati kepada tabung tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kerja MRT Corp kerana telah bersama-sama membantu negara di saat kesukaran ini,” katanya.

Kelab tersebut sedang meneruskan usaha pengumpulan derma untuk terus menyokong institusi perubatan lain yang telah meminta bantuan dalam menangani wabak tersebut. – MalaysiaGazette