
KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara Raja-Raja Melayu yang terawal mengadakan mesyuarat secara maya dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung situasi semasa penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Menurut Tunku Ismail, baginda tidak menolak kemungkinan untuk menaik taraf hospital dan kemudahan perubatan sedia ada di seluruh Johor dalam usaha menangani Covid-19 yang kini memasuki hari terakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Fasa Ke-3.
“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bermesyuarat dengan YB Datuk Seri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia berkaitan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia dan negeri Johor.
“Turut dibincangkan adalah keadaan hospital-hospital di seluruh negeri Johor dan keperluan untuk mempertingkatan fasiliti kesihatan di semua hospital daerah-daerah Johor,” katanya Tunku Ismail dalam hantaran terbaru di Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Selain perkembangan Covid-19, Tunku Ismail juga sempat membincangkan mengenai situasi semasa bola sepak di Malaysia selepas tempoh PKP
“Baginda turut membincangkan mengenai situasi bola sepak di Malaysia selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat,” katanya.

Selain itu, Tunku Ismail turut berkongsikan statistik terkini pandemik Covid-19 di Johor setakat 27 April 2020 di mana jumlah kes kumulatif sebanyak 659, bilangan kes sembuh pula sebanyak 373 dan jumlah kematian akibat wabak ini seramai 18 orang. – MalaysiaGazette