KUALA LUMPUR – Sejak seminggu yang lalu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan media sosialnya untuk mengupas isu tentang Covid-19 untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat.
Tidak menjadi tetamu, Ahmad Zahid sebaliknya menerusi program yang dikenali sebagai ‘Hello…Hello bersama Presiden UMNO’ menjadi moderator yang mengajukan soalan kepada tetamunya menerusi Live Facebooknya.
Hari ini, Ahmad Zahid bersama-sama dengan dua tetamunya menerusi persidangan video iaitu pelawak Shahrol Shiro dan bekas pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainudin.
Tidak kekok bertanya soalan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kelihatan memeriahkan suasana dan berlawak jenaka.
Antara perkara yang dikupas oleh kedua-dua tetamu hari ini adalah berkenaan pengalaman menjadi pesakit Covid-19 dan kepentingan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menghentikan rantaian seterusnya memastikan negara bebas daripada wabak itu.
Reza Huzairi Zainudin berkata, berada di hospital bersama anak bongsunya selepas disahkan positif Covid-19 telah membuka matanya tentang risiko yang dibawa oleh wabak tersebut.
Apa yang berlaku di negara luar khususnya China dengan pandemik wabak itu semakin membimbangkannya sama ada berjaya melawan wabak itu atau sebaliknya.
Paling membimbangkan beliau adalah ketika keputusan ujian saringan masih belum keluar.
Reza mendedahkan khuatir kerana bimbang lebih ramai orang yang telah berjumpanya sebelum ini berisiko untuk dijangkitinya.
“Pengalaman saya bila masuk hospital kita takut, dan tertekan tapi saya lebih takut sebelum saya tahu lagi (positif) masa ujian belum keluar, sebab kita sudah terdedah dengan ramai orang, berkumpul dengan keluarga.
“Pengalaman itu amat berharga buat saya pasal bila terkena Covid-19 ini pertama yang saya fikir bila saya discharge sama ada bernyawa atau tidak bernyawa pasal kita nampak di media massa di China ramai yang pakai alat bantuan pernafasan, pakai untuk sokong nyawa dia,” katanya.
Reza, 41, merupakan Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad yang disahkan positif wabak itu pada Mac yang lalu dengan anak bongsunya.
Justeru kata beliau, pentingnya untuk mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus berada di rumah, menjaga kesihatan, penjarakan sosial dan memastikan kebersihan sentiasa pada tahan optimum.
Selain itu, turut dibincangkan bersama dua tetamu Ahmad Zahid sepanjang 30 minit segmen tersebut adalah kepentingan untuk masyarakat saling membantu antara satu sama lain khususnya dalam tempoh PKP yang ternyata menjejaskan periuk nasi pelbagai pihak.
Menerusi program ‘Hello…Hello bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi’ ini, beliau nampaknya menerima komen yang pelbagai daripada netizen, majoriti menyambut baik inisiatif yang disifatkan sebagai unik itu kerana menggunakan media sosial bukan untuk berpolitik semata-mata namun membincangkan isu semasa khususnya berkaitan dengan Covid-19.- MalaysiaGazette