KUALA LUMPUR – Setahun sudah berlalu, Ainul Mardhiah bebas kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut berakhir selepas ketumbuhan seberat 200 gram berjaya dibuang.
Jika pada bulan Ramadan tahun lalu, Ainul masih ‘berperang’ nyawa namun tahun ini keadaan sangat berbeza buat anak perempuan kepada Ahmad Safiuddin Ahmad Razak.
Mengimbau saat anaknya menjalani rawatan di United Kingdom (UK) kini banyak perubahan positif anaknya yang sedang membesar itu.
Menurut Ahmad Safiuddin anaknya yang sedang membesar itu kini semakin cerdik malah suka menyakat orang.
“Waktu macam sekarang ini, puasa tahun lepas adalah waktu waktu sukar yang telah Ainul lalui. Tapi berbeza dengan tahun ini. Ainul semakin pandai dan cerdik. Terlebih bermain, suka menyakat orang.
“Alhamdulillah. Berkat doa dan usaha dari kita semua, hari ini ada insan yang memiliki satu kehidupan yang lebih baik,” katanya menerusi Facebook.
Menerusi penghantarannya itu, Ahmad Safiuddin turut berkongsi gambar Ainul duduk menonton dengan alat bantuan pernafasannya (trachy) di sebelahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak membantu beliau dan isteri apabila Ainul berhadapan dengan kesulitan tahun lalu.
“Terima kasih semua yang pernah mendoakan dan membantu Ainul Mardhiah. Hanya doa yang baik-baik sahaja dapat kami kirimkan kepada anda semua. Allah pasti menghitung perbuatan baik kalian di akhirat kelak,” ujarnya.
Untuk rekod, penderitaan Ainul Mardhiah tahun lalu mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.
Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun tahun lalu selepas menjalani pembedahan di Hospital Great Ormond Street.-MalaysiaGazette