Home Ekonomi SC beri kelonggaran terbit nota boleh tukar

SC beri kelonggaran terbit nota boleh tukar

Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi kelonggaran bagi perniagaan untuk menerbitkan nota-nota boleh tukar kepada syarikat modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE) yang berdaftar dengan SC.

Kelonggaran ini akan membolehkan perniagaan menyerahkan penerbitan nota boleh tukar mereka terus kepada SC tanpa melalui khidmat penasihat utama.

Fi serahan juga akan dikecualikan, yang seterusnya mengurangkan kos pengumpulan dana.

Ini akan memberi manfaat khususnya kepada syarikat di peringkat permulaan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat permodalan kecil dan sederhana, membolehkan proses pengumpulan dana lebih efektif dari segi kos dan lebih cepat ke pasaran.

“SC terus menumpukan usaha untuk memastikan pasaran modal kekal dapat diakses, terutamanya oleh PMKS. Inisiatif ini merupakan sebahagian dari siri langkah-langkah diperkenalkan untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang diperlukan untuk mendepani situasi semasa, serta membuat persiapan bagi pemulihan selepas krisis ini,” Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.

Kini terdapat 124 firma VC dan PE yang berdaftar dengan SC, yang menguruskan anggaran jumlah dana komited sebanyak RM6 bilion.

Penerbitan nota boleh tukar akan dimudahcarakan melalui keperluan baharu dalam Guidelines on Unlisted Capital Market Products under the Lodge and Launch Framework (Garis Panduan LOLA). Peraturan baharu ini menggariskan kriteria bagi
nota boleh tukar yang layak.

Ini termasuk keperluan bagi nota boleh tukar ini anya diterbitkan dan dipindah milik antara syarikat VC dan PE yang berdaftar dengan SC.

Proses serahan juga telah dipermudahkan melalui serahan elektronik maklumat yang diperlukan melalui e-mel.

Kelonggaran ini juga diberikan kepada nota boleh tukar
Islam, tetapi ia akan dilaksanakan kemudian.

Kriteria kelayakan dan keperluan tersebut boleh didapati dalam Garis Panduan LOLA [https://bit.ly/358Kf10]. Butiran lanjut mengenai maklumat yang diperlukan untuk diserahkan kepada SC dinyatakan di dalam Lodgement Kit [https://bit.ly/3bKRJJU].
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada [email protected]. – MalaysiaGazette