Home Seni Hidup Shahrol Shiro aktif bantu MB Johor salur bantuan PKP

Shahrol Shiro aktif bantu MB Johor salur bantuan PKP

KUALA LUMPUR – Menyedari ramai yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memerlukan bantuan, pelawak, Shahrol Shiro mendedahkan kini aktif dengan NGO dikenali sebagai Gerakan Revolusi Orang Muda Johor (GROMJ).

NGO itu jelas  Shahrol Azizie Azmi bergerak menghulurkan bantuan kepada golongan  memerlukan, menggunakan pendekatan yang unik antaranya menggunakan khidmat penghantar makanan motosikal untuk menjimatkan masa dan memastikan penduduk di kawasan pedalaman di Kluang Johor khususnya tidak tercicir.

“Peringkat fasa 1 (PKP) NGO banyak bergerak memberi bantuan, kita tidak tunggu banyak masa, kita terus pergi ke petugas barisan hadapan dan yang terkesan adalah penduduk-penduduk kampung bila nak masuk fasa kedua, mereka terputus bekalan makanan dan macam-macam lagi.

“Jadi saya terpanggil dengan NGO membantu Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad untuk membantu masyarakat. alhamdulillah banyak bantuan yang telah kita salurkan sehingga sekarang kita cuba mendapatkan bantuan dan cuba beri kepada yang memerlukan,” katanya dalam program Hello…Hello bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disiarkan secara Live Facebook hari ini.

Mengaku selaku penggiat seni, beliau dan rakan-rakan artis lain juga terkesan akibat Covid-19 kerana ketiadaan pendapatan pada waktu PKP ini, namun Shiro yang kini menetap di Kluang menggunakan masa terluangnya untuk sama-sama membantu.

“Tetapi pada peringkat awal PKP macam saya sekarang menetap di Kluang saya terpanggil untuk terus memberikan bantuan kepada yang memerlukan kerana bagi saya Covid-19 ini bukan masa untuk kita duduk diam,” tambahnya.

Jika sebelum PKP  dikuatkuasakan, NGO tujuannya membantu sering dilihat bergerak dalam kumpulan besar namun tidak lagi sekarang, kata Shahrol lagi yang menyifatkan hikmah di sebalik pandemik itu adalah masyarakat semakin saling peka antara satu sama lain.-MalaysiaGazette