APA itu kuarantin? Persoalan ini perlu difahami dengan jelas dan tepat supaya setiap orang memahami dan bersedia untuk mengikut segala peratuaan yang telah dinyatakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana yang telah diwar-warkan. Kuarantin bermaksud pengasingan dan batasan pergerakan yang dikenakan kepada seseorang yang berpotensi terdedah kepada penyakit berjangkit. Kuarantin ini amat penting untuk menyekat sebaran penyakit serta dapat dielakkan sekiranya seseorang individu tersebut menjadi tidak sihat.
Dalam proses melaksanakan kuarantin ini, adalah tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa impak psikologi semasa kuarantin antaranya gangguan emosi seperti perasaan takut, risau, gelisah, marah, keliru, kecewa dan sedih akibat faktor yang pelbagai. Selain itu,impak psikologi juga menyebabkan berlakunya kemerosoton prestasi kerja seperti hilang fokus dan arah serta semangat. Gangguan tidur juga berlaku disebabkan terlalu banyak fikir, risau dan menghadapi tekanan perasaan. Perkara
ini juga turut menjadi punca perubahan tingkah laku disebabkan jadual dan rutin yang berubah. Akhirnya, masalah fokus, kepekaan dan sukar membuat keputusan atau menyelesaikan konflik diri yang tidak diuruskan secara berkesan akan membuatkan tekanan emosi dan gangguan kesihatan mental.
Menerusi pendekatan kaunseling iaitu psikologi tingkah laku, setiap individu itu perlu mengetahui apakah punca stres semasa kuarantin serta menyantuni emosi masing-masing. Kesedaran tentang keadaan diri serta punca stres ini membolehkan seseorang itu lebih berwaspada daan peka dengan status diri mereka. Antara punca stress adalah kegusaran tentang tempoh kuarantin yang belum pasti tarikh akhirnya serta kebimbangan mendapat jangkitan. Perkara ini membuatkan individu merasa tidak bebas dan sering merasa kecewa serta berputus asa.
Tekanan perasaan akan menjadi lebih teruk jika individu turut mengalami kekurangan bekalan bahan asas dan keperluan fisiologi yang berpunca daripada kehilangan punca pendapatan ekoran kuarantin. Selain itu juga, tekanan akan berlaku sekiranya individu kurang maklumat yang benar atau terlalu percaya kepada berita palsu. Akhir sekali, tekanan juga berpunca daripada stigma masyarakat terhadap individu yang pernah dikuarantin kerana mengalami beberapa simptom sepertimana Covid-19.
Pengalaman dikuarantin juga mengakibatkan seseorang individu merasa tersisih, dipersalahkan dan dipandang serong oleh masyarakat sekitar khususnya di kawasan perumahan yang sama. Justeru, menerusi kefahaman psikologi tingkah laku, maka setiap individu dapat mengurangkan stres semasa kuarantin menerusi beberapa langkah yang rasional dan progresif. Pertama, setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha menghadkan tempoh kuarantin. Usaha ini hanya mampu dicapai dengan adanya kesedaran dan kerjasama daripada semua ahli dalam masyarakat. Ianya perlu bermula dari rumah di mana ibu bapa perlu memainkan peranan sebaik mungkin dalam mendidik anak-anak agar patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan.
Disiplin dan kepatuhan kepada PKP adalah satu usaha yang boleh
menghadkan tempoh kuarantin. Kedua, adalah menjadi tanggungjawab masing-masing untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat. Individu yang dikuarantin akan lebih tenang jika menerima maklumat yang sewajarnya dan mempunyai gambaran jelas berkenaan polisi kuarantin dan situasi yang dialami. Adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu untuk tidak menyebarkan berita palsu atau menerima semua berita tanpa usul periksa. Sikap terlalu mudah mempercayai berita palsu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Ketiga, pihak yang berwajib perlu memastikan bekalan bahan asas adalah mencukupi terutamanya bagi mereka yang hilang punca pendapatan atau bergantung hidup sebelum ini dengan pendapatan gaji harian. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sama ada secara persendirian ataupun menerusi persatuan dan badan kebajikan yang mengumpul dana dalam memberikan bantuan sewajarnya. Ketiadaan bekalan asas merupakan sesuatu hal yang perlu dipandang serius oleh ramai pihak.
Keempat, adalah menerusi perkhidmatan sokongan sosial kepada mereka yang merasa tertekan atau terganggu emosi sepanjang tempoh kuarantin ataupun PKP. Sokongan sosial adalah bentuk
bantuan yang hanya dapat diberikan oleh mereka yang prihatin dari segi emosi dan perasaan. Sokongan sosial boleh diperolehi dalam banyak bentuk sama ada oleh badan profesional seperti
kaunselor, pegawai psikologi mahupun pengamal kaunseling dan psikologi yang lain. Antara talian yang disediakan ialah Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-2615999 dimana terdapat sukarelawan kaunselor berdaftar yang bertugas dalam tempoh 24 jam sepanjang Covid-19 ini. Talian ini diwujudkan bagi memberikan sokongan emosi kepada pemanggil yang terkesan dengan krisis ini dan akan dibantu secara pendekatan tele-kaunseling.
Kelima, ialah dengan mengubah rutin dengan melakukan aktiviti tambahan yang diminati sama ada secara fizikal atau kognitif bagi mengelakkan kebosanan seperti membaca, menulis, senaman ringkas di rumah, memasak, atau hobi yang bermanfaat. Kaedah terakhir ialah dengan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan atau memberikan sumbangan mengikut kemampuan dan kesesuaian. Sumbangan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk wang ringgit, kepakaran atau kemahiran yang
tertentu. Mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan juga adalah sumbangan penting yang perlu dimainkan oleh setiap orang.
Kesimpulannya, sifat reda dengan ujian sejagat ini adalah satu penerimaan seseorang terhadap sesuatu yang terjadi dengan ikhlas atau rela hati terhadap apa yang telah ditakdirkan. Setiap krisis mampu ditangani sebaik mungkin dengan syarat setiap individu itu mempunyai kesedaran tentang apa yang berlaku dan bagaimanakah cara yang terbaik untuk melatih diri agar kekal tenang, positif dan rasional.
Oleh: Siti Fatimah Abdul Ghani K.B,P.A
Kaunselor Berdaftar
Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi
Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia
Pejabat Pendaftar, UPM