Home Nasional Kebenaran operasi sektor sosial, pendidikan ditangguh

Kebenaran operasi sektor sosial, pendidikan ditangguh

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Langkah untuk membenarkan operasi bagi sektor sosial dan pendidikan akan ditangguhkan sedikit masa lagi.

Ia bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau situasi penularan Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memaklumkam, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi terlebih dahulu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbanding dua sektor berkenaan.

“Biar kita benarkan sektor ekonomi bermula dan memantau situasi selama dua atau empat minggu sebelum kita putuskan dan cadangkan sektor sosial dan pendidikan untuk dibuka semula,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau ditanya wartawan sama ada sekolah sudah boleh dibuka atau ia akan mengambil lebih masa, susulan sektor ekonomi sudah mula boleh beroperasi sepenuhnya bermula hari ini.

Sementara itu Noor Hisham berkata, KKM akan meneliti aspek prosedur operasi standard (SOP) dan jaminan dipatuhi sebelum mempertimbangkan untuk menamatkan PKP di Zon Hijau.

Ujarnya, KKM perlu memastikan pematuhan terhadap enam kriteria yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menamatkan PKP.

Tamba beliau, ia terutama dari segi pemerkasaan komuniti supaya kawasan dan penduduk di lokasi terbabit dilindungi daripada jangkitan.

“Kita perlu memastikan SOP siap dan boleh dipatuhi. Setakat ini, ia masih belum siap dan mungkin mengambil masa seminggu untuk melihat SOP itu.

“Jika sudah sedia dan KKM berpuas hati, mungkin kita dapat laksanakan (menamatkan PKP). Namun setakat ini, belum ada keputusan lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerajaan semmg nya perlu meniliti dn mgkaji dgn penuh mendalam utk mbenarkn sektor sosial dn pendidikan beroperasi semula… Jgn sampai nti usaha yg tlh di buat oleh pihak kerajaan dn pengorbanan rakyat semua dlm pkp 1 hingga 4 btukar kepada ‘sia sia’sahaja…

Comments are closed.