Home Utama Kehidupan abnormal sekarang perlu ditamatkan – Mohamad

Kehidupan abnormal sekarang perlu ditamatkan – Mohamad

Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia mesti memerangi pandemik Covid-19 dengan bersungguh-sungguh agar kehidupan lazim kita dapat dikembalikan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak boleh bersendirian memerangi wabak ini bagi pihak rakyat.

Oleh itu, beliau mengajak semua memainkan peranan sebagai individu, masyarakat dan rakyat Malaysia.

“Akhiran wabak ini mesti bermula dari kita.

”Mulai sekarang, kita fahamkan kepada anak-anak dan keluarga kita, tanpa kebersihan peribadi, pandemik ini tidak akan berakhir.

”Tanpa penjarakkan sosial, abnormaliti ini akan merampas kehidupan dan kebebasan kita. Sekolah tidak boleh berfungsi, perniagaan lumpuh dan pengangguran akan meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menyifatkan kebenaran operasi sepenuhnya beberapa sektor ekonomi adalah sebahagian daripada strategi pemulihan yang tepat.

Malah, beliau menyeru strategi keseluruhan dan fasa pelaksanaanya segera diumumkan.

Ia penting agar kerajaan mempunyai masa untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada rakyat tentang dua perkara.

”Pertama bagaimana kita harus menyesuaikan diri dengan abnormaliti ini dan kedua bagaimana kita mesti mengakhirinya,” tambahnya.

Mohamad berkata, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan berakhir Mei ini atau tidak, masyarakat mesti segera difahamkan tentang pelbagai strategi pemulihan ini.

Menurutnya, sains mempunyai jawapan untuk strategi pemulihan yang berimbang ini dan bukannya pertimbangan politik atau lain-lain.

Tegas beliau, duduk di rumah atau stay home tidak boleh menjadi kelaziman baharu yang berpanjangan.

Ini kerana perniagaan, pekerjaan dan keusahawanan mesti diselamatkan.

Persekolahan dan pembelajaran juga tidak boleh lagi tertunda.

Malah, kehidupan beragama, kegiatan sosial dan kelestarian komuniti kita mesti kembali sesuai adat, budaya dan resam masing-masing.

”Virus ini tidak boleh menenggelamkan tamadun, kemajuan, kebudayaan dan kehidupan beragama dan bermasyarakat kita.

”Kita hanya ada satu misi waktu ini, iaitu mengalahkan pandemik patogen dan mengakhiri fasa abnormaliti ini dengan strategi pemulihan yang seimbang, ampuh dan tuntas.

”Hanya dengan kejayaan misi ini, kita akan kembali kepada kehidupan ‘normal’ yang sesuai dengan fitrah, budaya dan citra masyarakat dan agama kita,” ujarnya yang menyifatkan situasi semasa adalah abnormal dan perlu dinoktahkan.

Mohamad berkata, seluruh rakyat Malaysia harus kembali kepada kehidupan yang asasi, lumrah dan tabii berbanding menjalani kehidupan abnormal sekarang.

”Tidak solat berjemaah tidak mungkin akan menjadi ‘a new normal’. Ia adalah abnormaliti yang mesti segera kita akhiri kerana kita sangat rindu dengan masjid, surau dan musolla kita serta para kariahnya.

”Tidak boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mereka yang kita sayangi adalah ‘abnomal’ dan sangat asing. Ia bukan budaya dan cara kita berkehidupan. Kita mesti kembali boleh memandi, mengkafan dan melakukan solat terakhir untuk mereka yang sangat kita cintai.

”Tidak boleh berterawih dan bermoreh di Masjid semasa Ramadan adalah asing. Seumur hidup saya, tidak pernah satu Ramadan yang semua ini tidak dilakukan.

”Sesungguhnya, seluruh umat Islam sangat merindui Ramadan yang meriah dengan amal soleh dan dengan ibadah tidak putus-putus serta dilakukan secara bermasyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette