Home Dunia Kim Jong Un kuarantinkan diri

Kim Jong Un kuarantinkan diri

Kim Jong Un. foto Agensi

SEOUL – Kim Jong Un tidak sakit dan mungkin sedang berlindung daripada wabak koronavirus, menurut pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Ia merupakan penjelasan terbaru mengenai ketidakhadiran pemimpin Korea Utara itu di khalayak awam baru-baru ini.

Korea Utara sebelum ini menegaskan negara itu masih belum ada kes jangkitan Covid-19, walaupun berkongsi sempadan dengan China.

Walaupun ada laporan baru-baru ini yang mendakwa bahawa Kim tidak hadir dalam acara ulang tahun penting setelah menjalani pembedahan jantung, namun Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Yeon-chul, menyatakan adalah wajar menganggap Kim mengambil langkah berjaga-jaga.

Kelibat Kim tidak kelihatan semasa sambutan ulang tahun datuknya, Kim II-sung pada 15 April lalu.

“Kami ada kapasiti perisikan yang memboleh saya memaklumkan secara yakin bahawa tiada apa-apa luar biasa berlaku dalam Korea Utara.

”Beliau bukan tidak hadir pada majlis sambutan…sejak memerintah, tetapi banyak majlis-majis termasuk sambutan ulang tahun dan jamuan dibatalkan kerana kebimbangan ke atas koronavirus,” ujar Yeon-chul.

Malah, beliau menyifatkan laporan yang menyatakan Kim menjalani pembedahan jantung adalah sebagai berita palsu.

Kali terakhir Kim dilihat pada 11 April lalu ketika menghadiri mesyuarat Parti Politburo

Pegawai Amerika Syarikat memaklumkan kepada Reuters, Kim menaiki kereta api persendiriannya ke sebuah resort di Wonson untuk melindungi dirinya daripada virus.

Edwin Salvador, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia ke Korea Utara memaklumkan minggu lalu bahawa negara itu telah menguji 740 orang untuk Covid-19 pada 17 April tetapi semuanya negatif.

Bagaimanapun, Jiro Ishimaru, yang mengetuai laman web Asia Press yang berpusat di Osaka mendakwa tindakan Kim mengasingkan diri membuktikan bahawa virus itu telah menyebar ke dalam negara tersebut.

Spekulasi menyebut Kim berada di Wonson selepas Project 38 North mendakwa imej satelit merakam kereta api khas pakir di stesen tempatan.

Laman web NK News pula berkata, bot riadah yang selalu digunakan oleh Kim aktif sepanjang bulan ini. – MalaysiaGazette