Home Nasional KKM terima kit ujian pantas dari Korea Selatan Jumaat ini

KKM terima kit ujian pantas dari Korea Selatan Jumaat ini

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerima kit ujian pantas atau rapid test kit yang diimport dari Korea Selatan Jumaat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penerimaan untuk kumpulan pertama kit ujian itu membabitkan jumlah sebanyak 50,000 unit manakala penghantaran kedua pada Sabtu berjumlah 100,000 lagi.

Beliau berkata, keutamaan KKM untuk menggunakan kit ujian tersebut adalah kepada kepada pesakit di Sabah dan Sarawak.

“Jumaat ini kita akan terima kumpulan pertama kit ujian lebih kurang 50,000 dan kita letak keutamaan kepada Sabah dan Sarawak, memandangkan di sana mengalami masalah pengangkutan melibatkan kawasan pedalaman.

“Jadi bila kita guna kit ujian ini, ia boleh dibuat di klinik daerah itu dan keputusannya dapat diketahui cepat tidak payah hantar sempel ke hospital,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, kit ujian tersebut juga akan digunakan kepada mereka yang pulang dari luar negara sebaik sahaja tiba di lapangan terbang bagi mendapatkan keputusan dengan cepat. – MalaysiaGazette