Home Nasional Gagal patuhi garis panduan KKM, kilang bakal ditutup

Gagal patuhi garis panduan KKM, kilang bakal ditutup

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA- Pemilik kilang yang gagal mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal berdepan dengan penutupan premis.

Amaran itu dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila memberitahu, kementeriannya akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan pematuhan garis panduan tersebut dipatuhi.

“Kita ada prosedur operasi standard (SOP), jika gagal patuhi KKM akan ambil tindakan untuk menutup kilang berkenaan bagi memberi masa untuk mereka mematuhinya,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai pengabaian penjarakan sosial oleh pekerja sebuah kilang di Kulai, Johor.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular di media sosial menunjukkan pekerja di sebuah kilang beratur tanpa jarak selamat satu meter untuk memasuki premis tersebut. – MalaysiaGazette