KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 1 terhadap sembilan pertuduhan merogol dan mencabul dua wanita Mongolia.
Tertuduh,Hazrul Hizham Ghazali, 30, yang berpakaian baju lengan pendek berkolar warna biru gelap dan berseluar jeans biru memohon kes dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya telah dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Dia yang kini digantung tugas sejak Rabu lalu hadir ke mahkamah bersama kedua-dua peguambelanya Shah Rizal Abdul Manan dan Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri dari Tetuan Shah & Harrie sekitar 8.50 pagi tadi di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Untuk lapan pertuduhan rogol melibatkan dua wanita berkenaan termasuk iaitu enam pertuduhan merogol mangsa pertama yang berusia 20 tahun dan dua pertuduhan merogol mangsa kedua, 36 tahun.
Tertuduh didakwa merogol seorang perempuan (mangsa pertama berusia 20 tahun) dengan kedudukan kuasanya sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaannya.
Oleh itu, dia telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dpenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 April antara jam 1.30 pagi hingga 4 pagi bertempat di bilik hotel bernombor 203 dan 302 di Luxe Boutique Hotel, di Petaling Jaya.
Manakala dalam satu pertuduhan kesembilan secara berasingan, tertuduh juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa pertama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 April 2020 antara jam 5.30 petang hingga 6.15 petang bertempat di khemah petugas sekatan jalan raya Tol NPE (Lebuhraya Pantai Baharu) PJS2, Petaling Jaya.
Untuk kesemua sembilan kes tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (cubaan mencabul).
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada 3 hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana khuatir tertuduh ada kemungkinan menyalahgunakan kuasa mengganggu mangsa.
Bagaimanapun peguambelanya, Shah Rizal ketika berhujah berkata, kedua-dua mangsa telah ditempatkan di rumah perlindungan dan tidak wujud sebab atau situasi untuk tertuduh cuba mengganggu mereka.
“Maka kami merayu mahkamah supaya mempertimbangkan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai serendah-rendahnya dengan mengambil kira situasi semasa.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Norshila memerintahkan tertuduh diikat jamin dengan wang berjumlah RM24,000 untuk kesemua lapan pertuduhan rogol dan RM3,000 untuk pertuduhan percubaan cabul dengan seorang penjamin.
Beliau turut menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes tersebut.
Semalam, tertuduh didakwa menghadapi dua pertuduhan memperdagangkan kedua-dua wanita itu yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 10 April 2020 jam 10.30 malam hingga 1 April jam lebih kurang 8.30 malam di bilik nombor 203 dan 302 di Hotel PJ Luxe Boutique, Petaling Jaya.
Bagaimanapun pegawai berkenaan yang diwakili peguambela Shah Rizal Abdul Manan mengaku tidak bersalah ke atas kedua dua pertuduhan tersebut sebelum serahan dokumen kes ditetapkan 17 Jun ini dan diikat jamin dengan RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal melaporkan pada malam Sabtu 11 April lalu, pasukan polis menerusi hasil maklumat risikan dan pemantauan berjaya menyerbu sebuah hotel dan menyelamatkan kedua-dua wanita itu.
Kedua-dua mangsa didakwa ditahan oleh suspek dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum mendakwa dirogol secara paksaan.
Suspek juga ditahan sekitar 9.30 malam pada hari yang sama ketika serbuan sebelum direman lima hari untuk melengkapkan kertas siasatan.
Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.-MalaysiaGazette