Home Sukan ‘Sebelum mati, saya mahu bantu Spurs julang EPL’

‘Sebelum mati, saya mahu bantu Spurs julang EPL’

Pochettino

LONDON – Mauricio Pochettino memasang impian untuk kembali semula ke Tottenham Hotspur suatu hati nanti dan membantu pasukannya menjulang piala Liga Perdana Inggeris (EPL).

Katanya, ia merupakan impian hidup beliau dan mahu merealisasikan mimpi itu menjadi kenyataan sebelum meninggal dunia.

Bekas pengurus White Hart Lane itu telah dipecat pada Novermber lalu selepas pasukan itu merosot ke tangga tengah carta liga.

Bagaimanapun Pochettino yang berasal dari Argentina itu mengintai peluang kembali ke kelab itu dan melaksanakan misi yang masih tertangguh itu.

“Sejak saat saya dipecat dan meninggalkan kelab itu, saya memasang impian untuk kembali semula ke Utara London sebelum ‘mati ‘ dan mahu menamatkan misi saya yang masih belum selesai di kelab itu.

“Kalau boleh saya mahu menguruskan semula pasukan itu dan membantu menjulang gelaran EPL,” katanya.

Di bawah bimbingan Pochettino, kelab itu berjaya mencipta sejarah julung kali beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah tahun lalu sebelum tewas 2-0 kepada Liverpool.

Ikon berusia 48 tahun itu kini mencari kelab lain untuk meneruskan kejurulatihannya.

Dia menjangkakan peluang kembali ke Spurs boleh berlaku dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi.

“Bagaimanapun, saya mahu mencuba untuk kali terakhir, kalau boleh nak menang sekurang-kurangnya satu gelaran bersama kelab itu,” ujarnya.-MalaysiaGazette