KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih belum memuktamadkan sebarang garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk pelaksanaan Solat Sunat Aidilfitri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perkara itu masih dalam perbincangan pihaknya bersama para mufti setiap negeri dan ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
“Kami mengambil inisiatif mengadakan perbincangan demi perbincangan dengan ashabus samahah para mufti, ahli Jawatankuasa Fakta Kebangsaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya sendiri dimasukkan dalam perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibuat hampir setiap hari.
“Sekurang-kurangnya kita boleh kemaskini dari semasa ke semasa. Insya-Allah sampai masa nanti kita akan kemukakan penyelesaian atau cadangan mengikut suasana semasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, di sini, hari ini.
Beliau mengulas penularan garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh PKP yang menggunakan kepala surat JAKIM dan logo jata Kerajaan Malaysia ditularkan di media sosial sejak semalam.
Antara garis panduan itu ialah orang ramai dikehendaki menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah, solat sunat hari raya boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah, ahli keluarga yang dikuarantin di rumah tidak dibenarkan turut serta.
Selain itu, takbir hari raya di masjid dan surau perlu dilakukan oleh imam, siak atau rakaman suara, takbir digalakkan dibuat di rumah dan takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.
Bagi amalan ziarah menziarahi pula diganti dengan berhubung menggunakan alat komunikasi dan media sosial sebagai pengganti diri.
Manakala amalan menziarahi kubur pada hari raya digantikan dengan bacaan Yaasin dan tahlil di rumah bersama ahli keluarga selepas solat sunat Aidilfitri.
Dalam pada itu, Zulkifli menjelaskan bahawa garis panduan itu perlu mengambil kira keadaan semasa Covid-19 dengan mengambil kira tahap keselamatan rakyat di negara ini.
“Beberapa cadangan telah dikemukakan, setakat ini kita ada dua cadangan, cadangan pertama garis panduan itu mungkin dibuat sekiranya masih ada tempoh PKP.
“Satu lagi cadangan apabila kita tengok suasana Covid-19 ini mula melandai turun. Kita juga kena lihat apakah pendirian kerajaan yang terakhir berkenaan PKP ini adakah boleh sambung atau tidak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette