Home Nasional Benarkan restoran beroperasi, khabar yang ditunggu 12,000 pengusaha

Benarkan restoran beroperasi, khabar yang ditunggu 12,000 pengusaha

Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kebenaran restoran untuk beroperasi pada 4 Mei ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia merupakan perkhabaran yang ditunggu-tunggu lebih 12,000 pengusaha yang kini menjalankan perniagaan secara terhad semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Dengan perkembangan itu, PRESMA akan memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi, meningkatkan tahap kebersihan premis dan penjagaan kesihatan bagi mengekang wabak Covid-19.

“Pun begitu, kami berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula jarak dua meter di dalam premis yang akan menghadkan kapasiti pelanggan pada satu-satu masa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jawahar berkata, bagi premis yang berada di tengah-tengah bangunan, hanya empat atau lima meja saja yang boleh disediakan untuk pelanggan berbanding 20 meja sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, PRESMA juga mengalu-alukan waktu operasi baru dari pukul 7 pagi hingga 10 malam sepanjang fasa keempat PKP bersyarat ketika ini.

“Semoga kita semua akan dapat menangani wabak ini dengan segera dan pengalaman melihat sendiri petugas barisan depan melaksanakan tugas telah memberikan pengajaran berguna kepada ahli PRESMA untuk memastikan peraturan ditetapkan kerajaan dipatuhi.

“PRESMA juga akan sentiasa akur untuk menghalang penularan Covid-19 ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette