Home Nasional Dakwaan gaji penjawat awam G41 hingga RM20,000 sebulan berniat jahat, prejudis

Dakwaan gaji penjawat awam G41 hingga RM20,000 sebulan berniat jahat, prejudis

Adnan Mat

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan artikel yang mendakwa gaji penjawat awam G41 antara RM12,000 hingga RM20,000 sebulan berniat jahat dan prejudis.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya kesal dengan penulis artikel itu yang boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap penjawat awam di mata masyarakat.

“Sebenarnya G41 ini bukan gaji sedemikian rupa, ada dalam kalangan G41 masih di bawah golongan M40 yang masih perlu dibantu kerajaan.

“Kenyataan yang katakan gaji mereka antara RM12,000 hingga RM20,000 sebulan adalah kenyataan yang nakal dan boleh memberi kesan buruk kepada penjawat awam.

“Malah kenyataan akhbar itu bersifat prejudis dan ingin mewujudkan suasana tidak harmoni antara anggota penjawat awam dan anggota yang terjejas pendapatan dan urusan harian akibat koronavirus,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Tokoh Hari Pekerja 2020 kepada Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin hari ini.

Menurut Adnan, ramai penjawat awam masih bekerja dari rumah dan tidak diberi cuti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah katanya, bagi petugas barisan hadapan pula masa mereka bekerja berlipat kali ganda daripada waktu bekerja sebenar.

“Kebiasaannya kita bekerja lapan jam tetapi sekarang kami (petugas barisan hadapan) bekerja 16 jam dan jadual ketat mengekang mereka tidak boleh balik rumah selama berminggu- minggu dan terpaksa duduk hostel.

“Jika ada orang ada kata G41 gaji RM12,000 ke atas kini kita kesal. Tidak patut berlaku begitu dan dia (penulis) kena buktiknlah kalau betul kata G41 gaji RM12,000.

“Ini satu anasir yang ingin meletakkan satu persepsi pendamik kononnya ada rakyat terjejas dan ada rakyat yang senang lenang dengan mengaitkannya dengan penjawat awam G41 yang mana membawa imej buruk kepada anggoata perkhidmatan awam,” ujarnya.

Ditanya sama ada penulis atau akhbar itu akan diminta memberi penjelasan dan menararik balik artikel tersebut, Adnan berkata: “Saya tidak melihat itu satu keperluan sebab dia adalah satu persepsi yang tak perlu dijawab,”.

“Kami penjawat awam kita telah terlatih dengan segala jenis persepsi di luar sana dan kami tetap akan jalankan tugas seperti biasa mengenepika persepsi itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette