Home Nasional Jabatan Imigresen laksana proses dokumentasi warga asing di Menara Plaza City One

Jabatan Imigresen laksana proses dokumentasi warga asing di Menara Plaza City One

Operasi dokumentasi dan kesihatan yang dijalankan oleh pelbagai agensi Penguatkuasaan dan Kesihatan telah menahan sebahagian warga asing dan dibawa ke depoh tahanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kehadiran pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen di Kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) Jalan Masjid India sejak 9 pagi tadi difahamkan bertujuan untuk melaksanan proses dokumentasi warga asing di Menara Plaza City One dan kawasan sekitarnya.

Proses berkenaan selesai pada kira-kira pukul 1.30 tengahari apabila kenderaan milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Ketua Pengarahnya  meninggalkan kawasan tersebut.

Kenderaan seperti trak selain bas milik agensi penguatkuasa itu memasuki kawasan Menara Plaza City One turut diletakkan di bawah PKPD di Jalan Munshi Abdullah pada pukul 9 pagi.

Warga asing yang telah diperiksa kesihatan dan dokumentasi oleh pelbagai agensi penguatkuasaan dan kesihatan diarah meninggalkan kawasan Jalan Masjid India berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MEI 2020

Kehadiran JIM juga adalah bagi membantu proses sanitasi dan nyah kuman.

Jurucakap Imigresen ketika ditemui di lokasi berkata, apa yang berlaku hari ini adalah prosedur biasa untuk membantu agensi penguatkuasa lain selain melaksanakan proses dokumentasi warga asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di premis tersebut.

Bagaimanapun pada penghujung proses dokumentasi itu kelihatan trak milik JIM meninggalkan kawasan tersebut dengan membawa beberapa individu yang disyaki warga asing.

Satu kenyataan akan dikeluarkan oleh Imigresen JIM.

Sementara itu, kira-kira 150 anggota dan pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan keselamatan dari Kuala Lumpur dengan dibantu tenaga sokongan dari Selangor terlibat proses pembersihan dan nyah kuman di kawasan tersebut selain proses dokumentasi warga asing.

Operasi dokumentasi dan kesihatan yang dijalankan oleh pelbagai agensi Penguatkuasaan dan Kesihatan telah menahan sebahagian warga asing dan dibawa ke depoh tahanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 01 MEI 2020

Para pengamal media telah berkumpul di lokasi tersebut sejak 8 pagi mendapat maklumat tentang kehadiran anggota penguatkuasa pelbagai agensi keselamatan di Menara Plaza City One Masjid India hari ini.

Persoalan mula timbul apabila berapa buah kenderaan polis dan imigresen termasuk enam buah trak kelihatan berada di lokasi tersebut. – MalaysiaGazette