Home Nasional Negara punyai fasiliti kesihatan mencukupi

Negara punyai fasiliti kesihatan mencukupi

Ruang untuk para pesakit yang telah disediakan ketika Lawatan Khas Media ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Selangor. foto AQIRA AZEMI

KUALA LUMPUR – Negara mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi sekiranya kadar jangkitan Covid-19 meningkat semula.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian adalah mencukupi.

“Kita sudah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas sempena Hari Pekerja yang disambut hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengingatkan bahawa rakyat perlu menerima hakikat bahawa dalam bulan-bulan mendatang, adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar jangkitan wabak berkenaan.

Ujarnya, apa yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan Covid-19, jangan kita alpa.

“Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala,” ujarnya.

Beliau seteruskan memaklumkan bahawa Malaysia mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah dengan hasil usaha kerjasama semua pihak yang amat berdisiplin.

Katanya, usaha itu perlu diteruskan agar lebih banyak kawasan yang terjejas dapat dihijaukan.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa negara ini telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Enam kriteria itu ialah pertama, kawalan sempadan negara telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif Covid-19 berlaku; kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan dan ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan.

Manakala yang seterusnya iaitu keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya; kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask dan keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu. – MalaysiaGazette