Home Nasional Patuhi garis panduan KKM dalam pengangkutan awam – Menteri

Patuhi garis panduan KKM dalam pengangkutan awam – Menteri

Orang ramai menaiki transit aliran ringan (LRT) untuk menuju ke destinasi masing-masing pada Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Semua penumpang dan kakitangan dalam perkhidmatan pengangkutan awam diingatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

Ia berikutan lebih ramai pengguna pengangkutan awam akan berada di stesen-stesen dan perhentian atau terminal susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Perdana Menteri hari ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sehubungan itu kata beliau, pengendali pengangkutan awam diarahkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya seperti memastikan penjarakan selamat diamalkan selain perlu menyediakan cecair pembasmi kuman serta kerap menjalankan sanitasi di tandas awam, tempat duduk dan tempat-tempat yang sentiasa disentuh oleh orang ramai.

“Pengguna pengangkutan awam diingatkan supaya mematuhi semua garis panduan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter selagi mana ia boleh dilaksanakan.

“Gunakan kaedah tanpa sentuhan ketika berurus niaga jika boleh dan dalam masa sama, pengguna juga diminta supaya mematuhi peraturan-peraturan tambahan yang ditetapkan oleh pengendali
pengangkutan awam sekiranya ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, penumpang dan kakitangan pengangkutan awam juga digalakkan untuk memakai topeng muka serta ‘hand sanitizer’ sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam.

Ujarnya, sesiapa yang mempunyai suhu badan yang tinggi dinasihati tidak menggunakan pengangkutan awam dan
segera menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan terdekat.

Katanya, pihak kementerian dan agensi-agensi di bawahnya akan terus meningkatkan pemeriksaan kesihatan di stesen-stesen pengangkutan awam secara berkala.

“Garis panduan kesihatan seperti yang dinyatakan di atas juga boleh digunapakai oleh para pekerja di bahagian logistik.

“Operasi sektor darat digalakkan menggunakan mod pengangkutan kargo melalui rel dan bukannya pengangkutan jalan raya seperti pemindahan antara terminal selagi boleh.

“Manakala kenderaan-kenderaan seperti lori perlu disanitasi dengan kerap dan para pemandu juga perlu sentiasa mengamalkan penjarakan selamat ketika berada di tempat kerja,” ujarnya.

Setakat ini kata beliau, operasi untuk kapal persiaran adalah tidak dibenarkan.

Tambahnya, Kementerian akan terus memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pengguna pengangkutan awam di seluruh negara agar sentiasa diutamakan. – MalaysiaGazette