Home Utama Pelajar ASWARA teruja balik kampung ketika PKP

Pelajar ASWARA teruja balik kampung ketika PKP

Kelihatan pelajar ASWARA ceria di dalam bas ketika pulang ke kampung halaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan selepas hampir dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan para pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) pulang ke kampung mengujakan mereka yang terlibat.

Bagi para pelajar Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), mereka malam ini begitu teruja sehingga ada dalam kalangan mereka sudah hilang kata-kata bagi meluahkan emosi mereka dapat pulang ke kampung halaman masing-masing bermula malam ini.

Kelihatan pelajar ASWARA ceria ketika hendak pulang ke kampung halaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

Bukan sahaja pelajar teruja malah perasaan yang sama turut dirasai oleh tenaga pengajar Aswara selepas mereka bertungkus lumus memastikan harapan para pelajarnya dapat dipenuhi sebelum ini.

Hasilnya, seramai 54 penuntut Aswara bertolak malam tadi ke kampung masing-masing menggunakan bas yang telah disewa khas ke destinasi masing-masing membabitkan Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur dan Zon Tengah.

Kelihatan pelajar ASWARA ceria di dalam bas ketika pulang ke kampung halaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

Difahamkan, bagi  Zon Sabah-Sarawak pula, sebanyak 40 penuntutnya sedang menunggu tiket pengesahan penerbangan dalam masa terdekat ini.

Pemecahan mengikut zon itu bagi memastikan tidak berlaku perhimpunan besar-besaran demi memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku.

Menariknya, antara luahan pelajar Aswara – mereka rata-ratanya membayangkan hidangan lauk pauk lazat hasil air tangan ibu masing-masing ketika berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Selain itu, mereka cukup teruja dapat bertemu insan-insan tersayang yang sejak sebulan lebih tidak ditemui gara-gara PKP akibat Covid-19.

Sebahagian pelajar ASWARA berbuka puasa sebelum bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

Bagi Fatin Nadhirah Rahmat yang merupakan penuntut Fakulti Tari, dirinya teruja malah hilang kata-kata untuk membayangkan dirinya dapat pulang ke kampung semasa peraturan PKP.

Pelajar ASWARA, Fatin Nadhirah Rahmat. Foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

“Saya akan beraya dengan kakak, adik beradik semua nanti di Kuantan, Pahang. Memang teruja sangat sebenarnya. Saya memang sudah lama tidak balik, dekat hampir setahun sebenarnya. Memang tidak sabar,” katanya.

Bagi Ahmad Zhafran Mohamed Zin, penuntut tahun ketiga fakulti Pengurusan Seni Budaya tidak sabar-sabar lagi menjejakan kaki kembali ke rumah kakaknya di Johor Bharu.

Pelajar ASWARA, Ahmad Zhafran Mohamed Zin. Foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

“Memang teruja sangat. Walaupun saya berasal di Kelantan namun atas sebab-sebab tertentu hanya dapat pulang ke Johor Bharu, rumah kakak saya. Tapi bersyukur juga.

“Kerajaan membenarkan kami balik dan Aswara bantu kami pulang ke kampung masing-masing. Memang Aswara banyak menjaga kebajikan para penuntutnya selama PKP ini, kami sentiasa mendapat sumbangan makanan dan sebagainya,” ujarnya.

Muhammad Iqtiman Muhammad Azmi, seorang pelajar Fakulti Teater sesi tahun pertama menarik perhatian apabila sempat memberikan kata-kata nasihat kepada semua rakan-rakannya terutamanya supaya mendengar sahaja arahan kerajaan agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Pelajar ASWARA, Muhammad Iqtiman Muhammad Azmi. Foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

“Alhamdulilah, akhirnya dapat pulang ke Kuala Terengganu. Memang seperti sudah lama duduk di Kuala Lumpur ini. Rindu dengan keluarga tetapi pada masa, saya ada beritahu mereka supaya jangan berharap tinggi saya dapat pulang.

“Kerana walaupun saya rasa sihat, saya tidak pasti dengan ujian saringan oleh KKM. Tapi syukur, saya sihat dan dapat pulang. Ini rezeki untuk dapat pulang ke kampung, memang pembelajaran ada tergendala sedikit tapi banyak juga hikmah lain.

“Ketika kita susah inilah, ramai juga yang tiada pertalian darah tampil membantu,” katanya penuh emosi.

Manakala bagi seorang pelajar Cina dari Fakulti Filem dan Televisyen, Tan Chen Fei pula tidak sabar pulang kerana merindui masakan ibunya.

Pelajar ASWARA, Tan Chen Fei. Foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020.

“Tiap hari saya makan oat sahaja. Rindu dengan masakan ibu. Sekarang begitu teruja pulang ke rumah di Segamat Johor. Kali terakhir, pada Tahun Baru Cina lepas.

“Emosi saya juga agak terganggu sedikit kerana PKP ini tapi sekarang dapat pulang. Terima kasih dengan Aswara kerana sentiasa memberi fokus kepada kepentingan serta kebajikan kami juga,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Rektor Aswara, Prof Madya Dr Sahar Sa’di Hashim berterima kasih dengan barisan hadapan yang sentiasa tampil membantu khasnya dalam melicinkan proses balik kampung ini.

“Pagi tadi, kita ada proses saringan sebelum semua penuntut kita dapat pulang ke kampung masing-masing dengan selamat, semuanya kita ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada.

“Kita sediakan lima buah bas malam ini, yang akan pulang adalah 54 penuntut, 27 lelaki dan 27 perempuan manakala Sabah, Sarawak pula tunggu tiket penerbangan.

“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan khasya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang buat saingan, PDRM serta bomba yang datang bantu sehingga proses ini selesai.

“Semua penuntut ini kita akan ke pick up point iaitu IPD (ibu pejabat polis) berhampiran lokasi masing-masing, yang tidak dijemput keluarga pula kita akan hantar sehingga sampai ke rumah. Semua persiapan dan aturan telah di buat dengan sebaiknya,” ujarnya.

Sebelum berangkat pulang, para penuntut sempat mendendangkan lagu popular Allahyarham Datuk Sudirman Arshad selain daripada mengucapkan selamat tinggal kepada semua sebelum naik bas masing-masing sekitar 9.30 malam tadi. –MalaysiaGazette