Home Seni Hidup Petua kulit kekal ‘gebu’ sepanjang PKP

Petua kulit kekal ‘gebu’ sepanjang PKP

Pakar Dermatologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Wan Syameen Afira Wan Ahmad Kamal.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan salah satu mekanisme yang
amat berkesan bagi membendung pandemik virus Covid-19 yang dipratikkan di
negara ini yang telah dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Malah, situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia mutakhir ini semakin serius iaitu
melibatkan lebih tiga juta kes positif di lebih 200 buah negara tanpa mengira kaum,
agama, keturunan dan bangsa.

Tiga juta individu bersamaan dengan penduduk Mongolia yang sebenarnya kurang
daripada haiwan ternakan seperti kuda, kambing dan unta di negara itu.

Negara yang terkenal dengan Empayar Mongol dahulu di bawah pemerintahan
Genghis Khan itu tidak merekodkan sebarang kematian kerana pandemik virus Covid-
19 setakat ini.

Kita mengharapkan pandemik virus Covid-19 ini akan segera berakhir dan walaupun
bakal berdepan dengan kelaziman atau istilah kehidupan normal baru yang
menyebabkan kehidupan kita mengalami transformasi 360 darjah.

Hakikatnya, semua terkesan dengan pelaksanaan PKP yang menyebabkan
sebahagian besar kita berada di kediaman dan akses untuk keluar amatlah terhad
berbanding sebelum ini.

Tempoh pelaksanaan PKP juga berlangsung pada bulan Ramadan yang
menunjukkan umat Islam di negara ini berpuasa kira-kira 13 jam sehari berbanding
penduduk di bandar Murmansk, Rusia yang berpuasa selama 20 jam 45 minit sehari.

Walaupun ada potensi kulit kita akan menjadi lebih cerah selain kurang menyedut
udara tidak segar hasil pencemaran industri dan asap kenderaan tetapi sebenarnya
pelaksanaan PKP boleh menyebabkan beberapa masalah kulit.

Menurut Pakar Dermatologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Wan Syameen Afira Wan
Ahmad Kamal, secara dasarnya, kulit seseorang kurang terdedah radiasi sinaran
ultraungu atau ultraviolet (UV) cahaya matahari semasa PKP namun terperap terlalu
lama dan kurang meluangkan masa di luar boleh menyebabkan kulit mengalami
dehidrasi (kekurangan air), jerawat atau kelihatan kusam dan tidak bermaya.

Wan Syameen memberitahu, terdapat beberapa petua penjagaan kulit secara
berkesan semasa pelaksanaan PKP iaitu kekal aktif dan bersenam, memakai krim tabir
suria (sunscreen) dan kurangkan masa dihadapan skrin gajet, gunakan pelembap
kulit selepas membasuh tangan atau menggunakan sanitizer, tidur yang
cukup selain makan makanan halal yang berkhasiat.

“Sebenarnya, aktiviti bersenam bukan sahaja dapat melancarkan darah ke kulit
malah mengurangkan tekanan perasaan menerusi pengurangan hormon stress iaitu
cortisol dan adrenalin selain memacu peningkatan bahan kimia endorphin yang
membuatkan kita lebih ceria.

“Fakta ini bersesuaian dengan laporan penyelidikan saintifik yang menunjukkan
sesetengah penyakit seperti psoriasis (penyakit kulit yang kronik dengan tompok-
tompok gatal), bersisik dan berwarna merah membentuk pada siku, lengan bawah,
lutut kaki, kulit kepala dan bahagian-bahagian lain pada badan), ekzema (keradangan
pada kulit yang menampakkan kemunculan lelehan, sisik atau keruping dan
menyebabkan pesakit berasa gatal dan resah) dan jerawat boleh menjadi lebih teruk
selain penghidap menghadapi tekanan dan kemurungan.

“Sebaiknya cuci sebelum dan selepas bersenam dengan pencuci yang lembut selain
terus mandi apabila selesai bersenam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, petua lain yang boleh diamalkan ialah memakai krim tabir suria
(sunscreen) walaupun berada di dalam rumah.

“Seseorang boleh terdedah dengan sinaran UV yang boleh menembusi tingkap kaca.
Sinaran ini boleh menyebabkan kedutan dan penuaan kulit. Sebaiknya, pilihlah krim
yang tertulis broad spectrum dengan perlindungan sekurang-kurangnya SPF 30.

“Selain itu, penyelidikan perubatan mendapati sinaran biru (blue light) yang
dipancarkan skrin televisyen, komputer dan telefon pintar boleh menyebabkan
pigmentasi terutama bagi individu yang berkulit gelap, ada masalah jeragat dan
melasma (keadaan kulit berwarna coklat kehitaman, bertompok-tompok terutama
pada dahi, pelipis dan pipi terutama ketika kehamilan, putus haid atau sebagai hasil
sampingan pil kontraseptif).

“Bagi melindungi kulit ekoran sinar biru ini, seseorang perlu menggunakan krim tabir
suria yang mempunyai komponen pelindung fizikal seperti zink oksida dan titanium
dioksida,” kata Wan Syameen.

Dalam pada itu, pakar kulit ini menasihatkan supaya menggunakan pelembap kulit
selepas membasuh tangan atau menggunakan sanitizer bagi mengurangkan risiko kulit menjadi kering, bersisik, merekah, gatal dan sakit.

“Sekiranya kita kurang tidur pula, hormon stres iaitu kortisol akan dirembeskan
sehingga menyebabkan kulit menghadapi dehidrasi (kekurangan cecair dan air) serta
proses penuaan (proses menjadi tua) akan dirangsang.

Malah, mereka yang menghidapi penyakit ekzema situasi mereka akan bertambah teruk jika kurang tidur.

“Memakan makanan manis seperti minuman berkarbonat, roti putih dan ubi
kentang yang mengandungi indeks glisemik (pengukuran kualiti (nilai GI) dan kuantiti
(gram per hidangan) karbohidrat dalam makanan) boleh menyebabkan sesetengah
penyakit kulit seperti jerawat bertambah teruk.

Ia bukan merujuk kepada kandungan gula di dalam makanan tersebut tetapi sebenarnya menunjukkan betapa pantasnya makanan tersebut meningkatkan kandungan gula dalam darah selepas dimakan secara kerap.

“Sebaiknya, amalkan makanan yang mengandungi kandungan antioksidan yang
tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran bagi mendapatkan kulit yang sihat dan
tidak kusam.

“Jangan jadikan alasan PKP untuk tidak memiliki kulit gebu dan menawan,” ujar Wan
Syameen.- MalaysiaGazette