KUALA LUMPUR – Seramai 1.8 juta pekerja berpotensi menganggur jika perniagaan-perniagaan tidak dibenarkan beroperasi sehingga bulan Jun ini.
Ia merupakan unjuran daripada kebanyakan firma penyelidikan.
Lantaran itu, ekonomi negara perlu dibuka semula demi kepentingan pekerjaan dan melindungi pekerja negara ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Malah, katanya, pembukaan ekonomi pada 4 Mei ini bukan baharu kerana sebelum ini sebanyak sembilan sektor utama negara sudah pun dibuka secara berperingkat-peringkat.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu ada empat sektor dibenarkan dengan 400,000 pekerja.
Tegas, tindakan kerajaan itu bukan terburu-buru sebaliknya telah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Namun, katanya, kadar pengangguran negara ketika ini stabil dengan adanya subsidi upah yang diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dengan peruntukan RM13.8 bilion.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengunjurkan kadar pengangguran negara boleh mencecah 5% ekoran wabak koronavirus.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul yakin isu-isu ekonomi dapat ditangani jika Malaysia kembali pulih dan bangun daripada krisis Covid-19.
Tambahnya, seperti negara-negara dunia lain, ekonomi negara juga dijangka menguncup pada tahun ini antara 4.7% hingga 5% dengan turut mengambil kira kedudukan harga minyak sekitar AS$20 setong.
Beliau optimis keadaan defisit itu masih terkawal mengambil kira penguncupan 6.7% yang dialami negara pada tahun 2009 semasa krisis ekonomi.
Mengulas mengenai hutang negara, Tengku Zafrul menambah, Malaysia tidak perlu menaikkan siling hutang luar negara daripada kadar semasa 55%.
”Tiada keperluan, had hutang luar negara RM35 bilion dan kita masih ada ruang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
APAKAH RAKYAT MALAYSIA DH BERSEDIA DGN PERUBAHAN NORMA HIDUP BARU SEPERTI YG KERAJAAN SARANKAN, MMG IANYA AGAK JANGGAL NK DIIKUTI OLEH SEMUA GOLONGAN MASYRAKAT..OLEH ITU ADALAH PERLU IANYA DILAKSANAKAN SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT AGAR RAKYAT FAHAM DAN PEKA APA KEHENDAK CARA NORMA HIDUP BARU INI.