KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan sudah membenarkan sektor-sektor ekonomi dibuka mulai esok, semua majikan di Malaysia diingatkan jangan terburu-buru untuk memulakan operasi masing-masing sehingga sudah bersedia untuk mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Sebaliknya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, majikan perlu memberi sokongan dan galakan kepada kakitangan untuk bekerja dari rumah.
”Dalam kita memulakan semula ekonomi, saya berharap majikan memastikan ketersediaan dan pematuhan kepada SOP yang disediakan. Jangan terburu-buru. Berikanlah sokongan kepada pekerja, galakkan “work from home” di mana boleh, dan amalkan amalan kesihatan dan keselamatan yang tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, amalan itu adalah norma baharu dunia.
‘InsyaAllah, usaha akan dipermudahkan dan diberkati, jangkitan dapat dielakkan dan ekonomi dapat dipulih dan dibangunkan semula bersama-sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette