Home Politik Pelawa PPBM kembali ke PH adalah tindakan bermaruah

Pelawa PPBM kembali ke PH adalah tindakan bermaruah

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Che Razab dibidas kerana menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempelawa PPBM kembali bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai idea yang tidak bermaruah.

Menurut Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil, tindakan Salahuddin adalah sesuatu yang bermaruah kerana PH perlu berusaha untuk meramaikan rakan politik dan dalam masa sama mengecilkan bilangan musuh.

PH katanya, tidak boleh terus bermegah dengan jumlah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang ketika ini tidak cukup bilangan bagi merampas semula kerajaan.

“Salahuddin dengan nada terbuka mempelawa PPBM atau mana-mana Ahli Parlimen (MP) atau ADUN (Ahli Dewan Undangan) PPBM untuk bersama PH dan ini sebenarnya tindakan bermaruah. Membiarkan negara terus dikuasai Perikatan Nasional (PN) sebenarnya yang tidak bermaruah

“Perkara ini telah dibincangkan di dalam Majlis Presiden PH dan dipersetujui untuk diteruskan kerjasama politik antara PH dan PPBM yang diterajui Tun Mahathir Mohamad.

“Lantaran itu, siri-siri pertemuan dengan Tun Mahathir dihadiri pemimpin utama PH termasuk PKR. Ia satu keputusan kolektif yang perlu dihormati dan diterima dengan baik.

“Maka, saudara Syukri Razab perlu menarik balik kenyataan tersebut.

“Umum mengetahui bahawa PH atau PN memerlukan sokongan majoriti MP atau ADUN bagi membentuk kerajaan samada di peringkat persekutuan atau negeri.

“Oleh itu, pelawaan Salahuddin Ayub selari dengan keputusan kolektif PH dan tiada khilafnya dari sudut politik.

“Mempunyai bilangan yang cukup di Parlimen atau DUN terutama di Johor memerlukan sokongan MP dan ADUN PPBM.

“Perlu diingat bahawa kenyataan tersebut dibuat secara terbuka dan bukannya melibatkan pertemuan sulit yang tidak bermaruah sepertimana yang dilakukan Pas sebelum ini sehingga terbubarnya Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah ADUN Permatang Pasir itu, tindakan PPBM keluar PH dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan bukannya melalui Perhimpunan Agung parti.

Ini pastinya, membuatkan sebilangan pemimpin dan ahli yang tidak bersetuju parti tersebut bekerjasama dengan UMNO, katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. In Malaysia, corruption is partly legal like ‘belanja makan minum’. The only country that openly acknowledges accepting small gestures or in-kind is not corruption.

  2. PH ni memang tak ada maruah dan mabuk kuasa. Sebab itu asyik menyembah kaki BERSATU untuk balik bersama PH. Sebenarnya kalau PH tu tak bersama DAP mungkin akan ada perbincangan. Tapi dalam keadaan sekarang lupakan aje. AMANAH tu parti boneka DAP sebab ti tak boleh jadi macam PAS. Tuan carilah rumsh lain untuk tinggal selamat.

Comments are closed.