KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pembayaran pengeluaran i-Lestari yang diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula 4 Mei sehingga 18 Mei 2020.
Ahli akan dimaklumkan melalui kemudahan i-Lestari Online sejurus selepas bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank mereka sekiranya akaun mereka adalah aktif dan tidak dibekukan.
Tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank ahli bagi tujuan pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran di pihak bank masing-masing, yang mungkin mengambil tempoh satu hingga tiga hari dari tarikh KWSP membuat pindahan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, entiti tersebut telah meluluskan lebih 3.51 juta permohonan berjumlah RM1.66 bilion sejak ia dilancarkan pada awal April lalu.
“KWSP memahami keperluan mendesak ahli untuk menggunakan wang bagi melalui waktu mencabar ini walaupun kami khuatir Pengeluaran i-Lestari akan mengurangkan simpanan persaraan mereka.
“Kami berharap ahli telah berfikir secara mendalam sebelum memutuskan jumlah yang akan dikeluarkan dari Akaun 2 mereka, kerana mereka perlu mengimbangi keperluan tunai semasa dengan keperluan untuk memiliki kewangan yang utuh pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette