KUALA LUMPUR – Orang ramai yang membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia untuk melakukan pergerakan merentasi negeri diminta melakukan perjalanan bermula 7 Mei ini mengikut jadual perjalanan yang disyaratkan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, arahan ini adalah ditujukan kepada 503, 276 orang yang mengemukakan permohonan untuk pergerakan antara negeri.
Beliau berkata, perjalanan itu bermula 7 hingga 10 Mei ini mengikut hari dan negeri yang telah ditetapkan.
“Pada hari pertama iaitu 7 Mei ini warga yang terkandas di ibu kota (Kuala Lumpur) boleh bergerak ke destinasi kediaman masing-masing manakala 8 Mei iaitu Jumaat pula orang terkandas di Perak, Johor dan Kelantan akan memulakan perjalan pulang ke kediaman mereka.
“Justeru pada hari ketiga iaitu 9 Mei Sabtu pula, orang terkandas dibenarkan melakukan pergerakan dari lima negeri ini iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang dan pada Ahad 10 Mei pula akan melibatkan pergerakan orang dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu ke kediaman masing-masing,” katanya dalam sidang media mengenai Gerak Malaysia Pergerakan Antara Negeri di Bukit Aman.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.
Menurut Huzir, jadual yang disusun dengan teliti supaya mereka yang terkandas tiba di lokasi, kebanyakannya di Lembah Klang, tidak tiba secara serentak sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, pada hari kedua mereka yang bergerak dari Perak dijangka tiba dahulu diikuti Johor dan seterusnya Kelantan.
Tambah beliau, Pengarah Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisma Alias juga menasihatkan supaya mereka bergerak selepas berbuka puasa atau sahur bagi melancarkan pergerakan trafik.
“Orang ramai hendaklah pastikan pergerakan mereka pada hari yang telah ditetapkan dan percaya rakyat ada disiplin patuh kepada arahan polis dan tidak perlu diingatkan lagi,” ujarnya.
Justeru kata Huzir, bagi mereka yang tidak menggunakan telefon pintar, mereka boleh membuat permohonan secara bertulis kepada ketua balai di kawasan masing-masing dan perlu membuat temujanji untuk mendapatkan kelulusan mengenai pergerakan antara negeri.
Pemohon secara bertulis perlu memuat turun borang permohonan pergerakan rentasi negeri dari Facebook rasmi PDRM dan mengisi sebelum membawa bersama ke balai polis berhampiran untuk mendapatkan temujanji mengenai perkara itu dan menyerahkan borang tersebut antara 4 hingga 6 Mei ini.
Katanya, borang permohonan itu akan diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga hari tetapi tiada kod QR atau notifikasi kelulusan diberikan kepada pemohon.
“Saya harap mereka mematuhi enam perkara iaitu tiada kemudahan makanan di Rumah Rehat dan Rawat dan sebarang perniagaan dilarang bagi mengelak orang kumpul beramai-ramai sepanjang lebuh raya utara selatan semasa perjalanan antara 7 hingga 10 Mei ini.
“Keduanya, surau akan ditutup dan sebarang aktiviti berjemaah di mana-mana bangunan kawasan R&R atau parkir kereta di sepanjang lebuhraya tidak dibenarkan dengan apa jua alasan sekali pun.
“Manakala fasiliti tandas awam sahaja beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam dan kawasan parkir kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna dilarang keluar dari kenderaan kecuali untuk tujuan ke tandas sahaja dan akhirnya dilarang melakukan sebarang aktiviti berkumpulan sepanjang perjalanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya setakat 12 tengahari ini, seramai 1,238,510 pengguna telah memuat turun dan mendaftar aplikasi Gerak Malaysia manakala seramai 503,276 orang telah mengemukan permohonan pergerakan antara negeri.
“Saya harap rakyat Malaysia tahu apa itu disiplin dan patuhi arahan ini dan lihatlah berapa ramai ditangkap sepanjang PKP dan jangan anda menjadi salah seorang daripadanya.
“Peringatan ini termasuk untuk mereka yang cuba tipu dan mahu berjalan tanpa daftar Gerak Malaysia,” katanya.
Sementara itu Al-Ishsal Ishak meminta pemohon mengemaskini versi lama Gerak Malaysia kepada versi terbaharu iaitu 2.0 untuk memudahkan mereka mengisi tempat dan destinasi yang hendak dituju.
“Sila kemaskini aplikasi anda yang sudah ada dalam Android playstore versi 2.0 yang boleh memasukkan destinasi asal dan destinasi hendak dituju manakala pengguna iphone pula, Applestore dijangka menyediakan versi 2.0 itu selewat-lewatnya pagi esok.
“Semasa mengisi dalam talian Gerak Malaysia, pemohon dikehendaki menyatakan persetujuan sama ada bersedia berkongsi lokasi semasa mereka sepanjang perjalanan nanti kerana ia bagi tujuan memudahkan SKMM dan polis dapat data kawalan pergerakan.
“Malahan sekiranya mana-mana antara yang meneruskan perjalanan nanti dikesan positif Covid-19, maka data ini akan memudahkan kita melakukan pengesanan kontak menggunakan nama dan butiran yang dikongsi dalam aplikasi itu,” katanya. -MalaysiaGazette
Selamat pulang, selamat memulakan perjalanan kepada semua yang terlibat. Moga selamat sampai. Ikut dan patuhi arahan .. Jgn ulangi sikap engkar yang lalu.. Orang suruh duk rumah, bededai2 balik kampong…