KUALA LUMPUR- Kerajaan Negeri Selangor melarang orang ramai makan dan minum di dalam premis makanan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, semua premis makanan yang beroperasi esok hanya boleh menawarkan perkhidmatan bungkus dan penghantaran dari jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja.
Bagi peniaga yang tidak mempunyai premis seperti penjaja tepi jalan dan trak saji, operasi hanya dibenarkan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 12 Mei ini.
Ini menurut beliau adalah untuk memberi masa yang mencukupi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga untuk membuat persediaan termasuk penjarakan sosial dan penjejakan kontak.
Keputusan tersebut katanya diambil selepas mengadakan beberapa pertemuan dan mesyuarat sebelum dan selepas pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri pada 1 Mei lalu.
“Perbincangan tertumpu kepada usaha menyediakan garis panduan bagi negeri ini terutamanya persediaan pembukaan sektor ekonomi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Amiruddin, stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam; pasar raya mini, kedai runcit dan kedai serbaneka (8 pagi-10 malam); taman komuniti (7 pagi-7 malam) manakala perkhidmatan Bas Smart Selangor akan mula beroperasi secara berperingkat mulai Rabu ini.
Pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitri masih tidak dibenarkan beroperasi sebagaimana ditetapkan kerajaan Persekutuan.- MalaysiaGazette