KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) bersetuju bekerjasama bagi menyiarkan Slot Program TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro.
Kerjasama KPM dan Astro ini merupakan tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang kini bersiaran di saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 6 April 2020.
KPM berkata, inisiatif ini adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.
Pendekatan ini akan dapat membantu murid yang tidak
mendapat capaian internet mengikuti proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP) dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.
Slot TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro akan mula bersiaran pada 4 Mei 2020 selama dua jam pada setiap Isnin hingga Jumaat.
Waktu siaran pada pukul 10.00 pagi hingga 11 pagi menerusi saluran 601 dan pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari menerusi saluran 603.
Menurut KPM, rancangan berkenaan akan diulang siar pada pukul 3 petang hingga 4 petang di saluran 601 pada jam 4 petang hingga 5 petang di saluran 603 pada hari yang sama.
Selain itu, program ini juga dapat ditonton secara percuma pada
bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO yang boleh dimuat turun menggunakan peranti dengan sistem pengoperasian Android dan iOS.
Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.
KPM yakin slot program TV Pendidikan melalui kerjasama
dengan Astro ini akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses PdP dilaksanakan dengan lebih meluas, terutamanya dalam keadaan yang mencabar pada masa ini. – MalaysiaGazette