Home Krik Krik EKSKLUSIF: ‘Permata Istana’ di balik penjara

EKSKLUSIF: ‘Permata Istana’ di balik penjara

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sangat meminati kerja-kerja kreatif seperti menjahit dan menenun.

Penglibatan Tunku Azizah dalam membangunkan Tenun Pahang bermula pada 2005 dan baginda bertanggungjawab mengangkat Tenun Pahang dengan memasyhurkannya sebagai Tenun Pahang Diraja pada Mei 2006.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa melawat pesakit kanak-kanak ketika mengadakan lawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 OGOS 2019.

Kerana minat begitu mendalam terhadap Tenun Pahang Diraja dan demi memartabatkannya, Tunku Azizah menubuhkan Institut Kemahiran Tengku Ampuan Mariam di Kompleks Budaya dan Kraftangan Pulau Keladi di Pekan, Pahang, pada 2010 bagi melatih golongan muda khasnya.

Baginda juga menubuhkan syarikat menghasil dan menjual kain tenun yang dikenali sebagai CHEMINAHSAYANG.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas merasmikannya di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2019.

Untuk rekod, Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat Pahang sejak 300 tahun lalu.

Paling menarik, Tunku Azizah juga telah mengasaskan projek Tenun Pahang Diraja yang diusahakan oleh ‘jari jemari’ sekumpulan banduan di Penjara Penor, Pahang!

Malah sejarah pernah tercipta apabila baginda memilih kain tenunan banduan-banduan ini sebagai persalinan pada hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengucup Keris Kerajaan sebagai simbolik penerimaan kuasa Yang di-Pertuan Agong sambil diperhatikan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2019

Baginda ketika mencemar duli ke Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor tahun lalu pernah bertitah: “Saya memang akan pakai kain ditenun banduan kerana saya diberi penghormatan oleh mereka yang berusaha bersama-sama mengangkat fabrik ini sehingga dikenali ramai dan cetusan idea serta rekaan adalah ilham daripada saya sendiri.

“Ada colek jata Pahang dan bintang negeri Johor. Motif pada tenunan ini saya dapat apabila melihat pantulan cahaya matahari yang jatuh di atas kain. Saya nampak pantulan cahaya itu dan saya kata, saya nak corak itu.

“Alhamdulillah, mereka (pegawai penjara dan banduan) faham motif rekaan yang saya nak dan mereka mampu melakukannya dengan baik. Ini bermakna banduan cekap menenun mengikut spesifikasi dan kehendak saya.”

Bertitik tolak daripada itu, minggu lalu Malaysia Gazette bertolak dari Kuala Lumpur ke Penjara Penor bagi menyaksikan sendiri ‘apa yang pernah’ dititah oleh Tunku Azizah di sana.

Para petugas penjara bersiap sedia bagi menjalankan kerja-kerja kawalan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Terletak kira-kira 254 kilometer dari Kuala Lumpur, Penjara Penor mempunyai keluasan kira-kira 200 ekar. Ia mula dibangunkan pada tahun 1982 dan objektif asalnya untuk dijadikan Sekolah Henry Gurney, Kuantan.

Namun memandangkan ketika itu Penjara Kuantan mengalami masalah kesesakan, maka cadangan asal itu telah diubah. Lalu pada 30 hb. Julai 1990, penjara ini telah diwartakan sebagai Penjara Terbuka Penor.

Temubual bersama Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Ketibaan kami di penjara tersebut pada pagi itu disambut sendiri oleh Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abdul Basir Mohamad dan Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussein.

Setelah melalui pemeriksaan ketat di pintu utama, kami dibawa masuk ke dalam dan seterusnya menuju ke bengkel Tenunan Pahang Diraja yang terletak kira-kira 100 meter di situ.

Sambil berjalan, mata kami menangkap pergerakan banduan di situ yang nampaknya begitu berdisplin mengatur langkah kaki mereka. Begitu tertib sambil mata mereka menjeling ke arah kami.

Antara gelagat banduan pada waktu terluang sementara menunggu aktiviti-aktiviti harian mereka di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Namun dengan kawalan ketat daripada pihak wadar dan anggota berpakaian celoreng dari Unit Kawalan dan Pencegahan Penjara (UKP), hati kami yang agak berdebar-debar dari tadi hilang dengan sendirinya.

Sebaik sahaja menerima tabik hormat daripada penyelia bengkel tenunan tersebut, Abdul Basir terus membawa kami sebuah bilik berhawa dingin.

Seperti sebuah ‘showroom’ kecil, bilik itu dipenuhi dengan kain tenunan yang tergantung serta deretan buku yang tersusun kemas di raknya.

Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad bersama Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussain (kanan) melihat buku-buku corak tenunan kain di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Abdul Basir kemudiannya menuju ke arah sebuah meja kayu. Di atas meja tersebut ada buku lukisan, pensil dan seberkas pensil warna.

“Di sinilah selalunya Tunku Permaisuri akan melakar dan melahirkan idea pembuatan kain yang akan ditenun nanti.

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

“Baginda akan melukis dan menerangkan reka bentuk corak yang diinginkan sebelum diserahkan kepada pegawai penjara serta banduan yang ada di bengkel itu untuk dizahirkan.

“Di samping membuat catatan, baginda juga meminjamkan buku-buku yang berkaitan dengan tenunan untuk dibaca oleh pegawai-pegawai kita dan banduan di bengkel ini,” kata beliau.

Tambahnya, selain Penor, di Pahang juga terdapat Penjara Bentong yang juga terlibat dalam pembuatan tenunan ini.

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Ujarnya, baginda begitu mengambil berat tentang pembangunan tenunan Diraja Pahang di kedua-dua penjara berkenaan terutama dari segi kualiti, corak dan rekabentuk tenunan tersebut.

Katanya, begitu juga dengan banduan-banduan yang terlibat dalam menghasilkan tenunan berkenaan.

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

“Semuanya dibawah pemerhatian Tunku Permaisuri,” katanya.

Sebelum meninggalkan kami di bengkel tersebut untuk meneruskan tugasannya, Abdul Basir meminta Abu Hassan untuk terus mengiringi kami ke bengkel utama bagi menyaksikan kerja-kerja tenunan oleh para banduan.

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Di sini kami melihat kira-kira 30 orang banduan begitu teliti menjalankan kerja-kerja mereka hingga ada yang tidak sedar tentang kehadiran kami di sebelah.

Walaupun kami ‘orang luar’, mereka tidak lokek untuk melemparkan senyuman sekaligus membuatkan kami lupa yang di depan kami itu adalah sekumpulan lelaki yang pernah disabitkan dengan jenayah kekerasan termasuk membunuh!

Menurut salah seorang banduan ‘senior’ yang kami temui, dia langsung tidak tahu tentang kerja-kerja tenunan sebelum ini apatah lagi termimpi boleh menghasilkannya serta mendapat perhatian Tunku Permaisuri!

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

“Bila saya masuk penjara, barulah saya belajar sedikit demi sedikit daripada tenaga pengajar di sini.

“Tunku memang berjiwa rakyat, tidak pernah menilai kita walaupun kita ni banduan, pendek kata hubungan baginda dengan kami memang rapat, sentiasa memberi nasihat dan semangat.

“InsyaAllah kalau kita keluar (bebas) nanti, Tunku akan ambil kita berkerja dengan baginda,” katanya.

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Setelah beberapa jam menghabiskan masa di bengkel dan penjara tersebut, tibalah waktu untuk berbukasa puasa.

Dapatlah kami melihat bagaimana ‘warga’ di sini berbuka puasa. Walaupun jelas juadah yang terhidang tidak seenak ‘di luar’, mereka reda dengan ketentuanNya.

Sebahagian banduan memngaminkan dia sebelum menikmati juadah berbuka puasa sempena bulan Ramadan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Malah rata-rata banduan yang ditemui melahirkan rasa kesyukuran kerana walau terkurung dalam bilik yang sempit dan terkunci seperti di Penjara Penor, mereka masih berkesempatan melihat kembali kesilapan silam serta belajar untuk tidak merngulanginya buat kali kedua.

Pun begitu, bagi Abu Hassan, selaku pengarah penjara di sini, beliau tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya bila terdapat pertambahan bilangan banduan di penjara tersebut.

Temubual bersama Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussain di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Katanya, ini terutama bila adanya banduan menghidap penyakit berbahaya dan berjangkit seperti TB dan HIV.

“Ini cabaran yang terpaksa pegawai dan anggota saya hadapi di dalam penjara ini,” ujarnya.

Namun beliau sentiasa berdoa agar semua kakitangan dan banduan dibawah seliaannya tetap dilindungi oleh Allah SWT.

Sebahagian banduan melakukan kerja-kerja pembuatan kain Tenun Diraja di Penjara Penor, Kuantan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2020.

Kami meninggalkan penjara tersebut ketika matahari menghilangkan sinarnya.

Namun kami percaya, di sebalik setiap yang berlaku pasti ada hikmah tersembunyi.

Sekurang-kurangnya walau di balik tembok besi, jari-jemari yang suatu ketika dulu pernah melakukan dosa, kini menjadi ‘jemari berharga’ di mata istana.

Selamat tinggal Penjara Penor, satu hari yang sungguh bermakna!- Malaysia Gazette

https://www.youtube.com/watch?v=bf01c1A0j9s

1 Komen

  1. Hebat banduan2 tu …. Moga terus berjaya dan cemerlang !! Begitu mahal pengalaman dan kemahiran yang mereka dapat.

Comments are closed.