PRESTASI kedudukan kebebasan media Malaysia bertambah baik mengikut Laporan World Press Freedom Index 2020, yang mana Malaysia telah menduduki tangga ke-101/180 berbanding tahun 2019 iaitu di tangga 123 dan pada tahun 2018 iaitu di tangga 145. Ini adalah satu prestasi yang amat menggalakkan iaitu melompat hampir 44 ke atas di dalam tempoh dua tahun ini. Ini adalah satu kejayaan bagi Malaysia. Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2020 membawa tema Journalism without Fear or Favour. Reporters Without Borders (RSF) turut melaporkan Malaysia mendahului negara-negara ASEAN lain dan menunjukkan peningkatan ketara di dalam kebebasan media.
Ada beberapa perkara penting yang harus ditekankan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia buat masa ini untuk terus menyahut cabaran kebebasan akhbar/media tempatan. Persepsi yang selalu dirumuskan oleh rakyat kita iaitu media perdana adalah penyokong kerajaan perlu diubah. Kita tidak boleh menggalakkan satu situasi di mana rakyat mendahagakan maklumat dan langsung tidak mempercayai pemberitaan media perdana. Inilah trend yang sudah lama berlaku. Ini adalah punca populariti platform-platform media sosial yang mana membawa penularan berita-berita palsu.
Kita sudah melihat bagaimana media Malaysia telah memainkan peranan yang penting sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani penularan Wabak Covid-19 yang mana mereka berdiri sebaris dengan barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan anggota-anggota badan beruniform lain dan membuat laporan tanpa mengira keadaan.
Banyak kali sudah saya menekankan berhubung penubuhan Majlis Media menyatakan bahawa usaha menubuhkan badan pengawalseliaan media bebas ini sudah diperjuangkan oleh pengamal-pengamal media tempatan sejak sekian lama bagi mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme, dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam. Langkah seterusnya adalah untuk menjadikan badan pengawalseliaan itu sebagai suatu realiti. Penubuhan majlis media yang terbuka, bertanggungjawab dan telus dapat membantu membina keyakinan terhadap media, menyumbang kepada kredibiliti organisasi media berita khususnya media perdana.
Majlis ini harus disegerakan memandangkan dua faktor utama iaitu melindungi dan menaik tarafkan profesion kewartawanan media perdana; khususnya cabaran digital yang terpaksa mereka tempuhi dari segi pemberitaan serta impak platform-platform media sosial yang memberikan satu tekanan yang amat mendalam bukan sahaja trend media sosial yang banyak ke arah politik kebencian dan elemen-elemen hasutan dan fitnah, ditambah dengan faktor-faktor berita palsu yang mempunyai elemen maklumat yang salah, tidak betul dan tidak tepat.
Penubuhan Majlis Media akan meningkatkan lagi imej, kualiti dan profesionalisme industri media tanah air. Ketika cabaran media sosial yang dan kesahihannya kandungannya diragui, media massa dan golongan wartawan arus perdana masih relevan sebagai penjana berita semasa. Namun, soal kredibiliti yang perlu ditekankan. Sekiranya, kredibiliti dan ketelusan dari segi pemberitaan wujud, sudah tentunya rakyat akan merujuk kembali kepada media perdana untuk kesahihan sumber. Di negara-negara jiran seperti Singapore and Indonesia, tidak ada platform media talian persendirian yang meraih populariti kerana rakyat percaya terhadap pemberitaan media arus perdana.
Penubuhan Majlis Media perlu memastikan hak dan legasi media serta pengamalnya diberikan perhatian secukupnya selain mengawal selia aspek akauntabiliti dan kod etika wartawan. Kepimpinan politik mampu meningkatkan konsultasi yang baik dengan pihak media. Tindakan mewujudkan sebarang dasar atau mengetengahkan akta yang boleh menjejaskan kebebasan media atau kebebasan bersuara dilihat tidak produktif untuk jangka panjang. Bagi menjaga integriti profesion kewartawanan, agaknya lebih baik kita membuat kawalan dalaman daripada kita dikawal dari luar. Majlis Media juga boleh berperanan sebagai satu badan yang boleh mengawal selia dan menetapkan peraturan supaya boleh dirujuk oleh wartawan dan editor di bawah satu payung.
Persoalan siapa yang harus mengendalikan majlis ini ialah ia harus dikendalikan sepenuhnya oleh pengamal media mahupun persatuan-persatuan media yang sedia ada seperti MPI, MNPA, IOJ, NUJ bagi mengelak timbulnya prasangka dalam kalangan masyarakat terhadap fungsi sebenar badan bebas ini nanti. Ia bagi memastikan badan pengawal selia media itu digerakkan berasaskan konsep dipacu oleh industri dan bukan didorong haluan oleh kerajaan. Kita tidak mahu nanti masyarakat berasa media masih dikawal oleh kerajaan. Mereka yang mengendalikan majlis ini datangnya daripada komuniti wartawan itu sendiri. Ditambah dengan satu unit khas atau bahagian pengurusan pematuhan media perlu dibentuk menerusi majlis itu bagi mendengar rungutan berhubung laporan yang tidak seimbang atau berat sebelah.
Maka, majlis tersebut seharusnya dianggotai oleh pengamal media sahaja bagi memastikan kebolehpercayaan terhadapnya. Kenaikan index kebebasan media ini wajar dijadikan sebagai peluang dan titik tolak dalam menghentikan pemilikan dan kepentingan mana-mana pihak terhadap organisasi-organisasi media.
Oleh: Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy, Penganalisis Politik & Media Sosial, Fakulti Komunikasi Pengajian Media, UITM Shah Alam