KUALA LUMPUR – Pelantikan beberapa nama wakil rakyat dan pimpinan parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui syrikat berkaitan kerajaan (GLC) jelas membuktikan wujud kesepakatan yang utuh dalam gabungan itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pembangkang khususnya Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berterusan memainkan sentimen kononnya PN akan berpecah kerana tiada kesepakatan.
“Menerusi lantikan yang dibuat itu, ia membuktikan bahawa sentimen yang dimainkan pembangkang itu hanyalah modal politik kotor mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan menegaskan, peranan individu yang dilantik itu adalah mewakili rakyat bagi memantau perjalanan sesuatu GLC ia merupakan satu amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Dalam pada itu Mohd Hairi berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Johor yakin dan percaya rakyat tidak akan lupa dengan janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan membuat lantikan politik selepas mereka berkuasa.
Namun katanya, selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu, janji berkenaan hanya omong kosong semata-mata apabila berderet-deret pimpinan PH dilantik.
“Kini mereka (pimpinan PH) melalak dan tidak habis-habis bercakap soal pentadbiran PN yang membuat lantikan politik untuk mengetuai GLC.
“PN tidak berjanji dan tidak memungkiri janji sebaliknya yang berbuat demikian adalah PH.
“Biarlah pemimpin PH terus melalak, kepada pimpinan PN, teruslah berkhidmat dengan baik demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Baru-baru ini bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Bhd (Boustead) berkuatkuasa 1 Mei lalu.
Pelantikan itu dibuat ekoran sepanjang Mohamed Khaled berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018, negeri itu mengecapi pertumbuhan ekonomi yang stabil.
Pengalamannya sebagai Pengerusi Johor Corporation Bhd juga menyaksikan kumpulan itu telah berjaya melaksanakan beberapa latihan penyusunan semula dan pemulihan.
Manakala, seorang lagi pimpinan PN di Johor iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Che Zakaria Mohd Salleh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA). – MalaysiaGazette