KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mencatatkan prestasi positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 apabila aset di bawah pengurusannya (AUM) melepasi sasaran RM300 bilion.
Firma pengurusan dana terbesar di Malaysia itu merekodkan AUM sebanyak RM312 bilion setakat hari ini manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.3 peratus kepada hampir 254 bilion.
Bagi tahun kewangan 2019, PNB telah mengagihkan sejumlah RM13.2 bilion dalam bentuk pengagihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unit.
Ketika ditanya mengenai unjuran kadar dividen pada tahun ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jalil Rasheed berkata, PNB sentiasa konsisten untuk membuat agihan kompetitif berbanding para pesaingnya dan sentiasa melebihi penanda aras yang ditetapkan iaitu deposit tetap 12 bulan Maybank.
Dalam pada itu, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, 2020 adalah tahun yang lebih mencabar berbanding 2019 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.
Ketidaktentuan bilakah pandemik tersebut akan berakhir dan pemulihan ekonomi akan bermula.
Bagaimanapun, sebagai pelabur jangka panjang, Zeti berkata, PNB akan memanfaatkan kejatuhan harga di pasaran ketika ini untuk membeli saham-saham berkualiti pada pernilaian yang lebih rendah.
“Rancangan kami untuk melabur di luar negara tetap kekal.
“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk memasuki pasaran memandangkan kita boleh mendapat saham-saham yang berkualiti pada harga yang rendah.
“Bagaimanapun, kami akan tetap berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan,” katanya semasa sidang media secara maya hari ini.
Tambahnya, ekuiti awam antarabangsa menjana pulangan tertinggi dengan menyumbang lebih 11.6 peratus kepada Pendapatan Kasar Keseluruhan bagi tahun 2019 walaupun pendedahannya sedikit sahaja iaitu 5.9 peratus.
Pendedahan global PNB juga meningkat daripada 1.8 peratus atau RM4.7 bilion pada 2016 kepada 8.5 peratus atau RM26.4 bilion pada 2019.
“Dengan fokus kepada asas pelaburan yang mengambil kira jangka masa yang lebih panjang dan disokong oleh komitmen terhadap urus tadbir dan ketelusan, ianya membolehkan PNB untuk bertahan dalam arus ekonomi yang mencabar ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette